malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Husni: Saya jumpa Najib 20 kali suarakan kebimbangan
Diterbitkan:  Aug 8, 2019 9:25 AM
Dikemaskini: 9:25 AM

KES NAJIB l Bekas menteri kewangan II Ahmad Husni Hanadzlah memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, bahawa beliau telah bertemu Najib Razak secara peribadi lebih 20 kali bagi menyuarakan kebimbangan mengenai pentadbiran negara termasuk pinjaman RM4 bilion SRC International Sdn Bhd daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP).

Ahmad Husni, 67, berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam Muhammad Shafee Abdullah pada hari ke-50 perbicaraan kes Najib, melibatkan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Saksi pendakwaan ke-56 itu berkata nasihat yang diberikan adalah berhubung perkara membabitkan pentadbiran negara, termasuk pinjaman oleh SRC.

Beliau berkata sekiranya terdapat perkara yang salah dan ia berkaitan dengan perdana menteri (ketika itu Najib), beliau akan terus berjumpa serta berbincang.

"Sekiranya ada kesilapan, ia harus diperbetulkan," katanya sambil menambah mesyuarat Kabinet yang dihadiri beliau, jarang membincangkan perkara berkaitan meluluskan cadangan bagi mengeluarkan jaminan kerajaan kepada pinjaman oleh SRC.

"Ketika saya menjawat jawatan menteri kewangan II, perbincangan dalam kabinet jarang diadakan. Kebanyakannya hanya bersetuju dengan perkara yang dibentangkan. Hanya bentang dan setuju. Itu realiti di Kabinet kecuali perkara berkaitan 1MDB berikutan terdapat percanggahan," katanya.

Ahmad Husni juga berkata beliau tidak membantah permohonan kedua SRC International, untuk mendapatkan jaminan kerajaan bagi pinjaman RM2 bilion daripada KWAP pada 2012.

“Sebab, saya tahu saya tidak boleh berbuat apa-apa. Tapi saya ambil berat mengenai RM2 billion yang diberi oleh KWAP pergi mana... kerana ia membabitkan dana pencen," katanya.

Katanya, beliau juga memeriksa sama ada pinjaman itu digunakan oleh syarikat terbabit serta menyemak sama ada pelaburan luar negara benar-benar wujud.

Ahmad Husni berkata beliau berada di luar negara ketika pinjaman kedua itu dibentang dan diluluskan dalam mesyuarat jemaah menteri.

Najib, 66, berdepan tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

- Bernama

Nyatakan sokongan anda pada kewartawanan mapan

Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini untuk melaporkan kebenaran. Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini sebagai sumber kewartawanan berkualiti. Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini untuk mempertahankan ketelusan dan keadilan.

Tanpa tauke untuk menentukan bentuk pemberitaan; bebas daripada pengaruh politik dan komersial, Malaysiakini hanya mempunyai satu sahaja bos - anda, rakyat.

Mengambil kesempatan ini, kami ingin mengucapkan terima kasih atas rasa cinta anda kepada tanah air serta kepercayaan yang diberikan untuk kami menggalas tugas ini - sebagai semak dan imbang kepada kekuasaan.

Kami bergantung kepada langganan anda untuk mempertahankan pendirian ini. Terima kasih.

Lihat Komen