malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pekerja berdemo bantah arahan pindah ternakan dari ladang
ADS

Sekumpulan pekerja yang menternak lembu dan kambing tidak berpuas hati dengan keputusan sebuah syarikat perladangan yang mengarahkan mereka supaya memindahkan haiwan ternakan mereka tanpa menyatakan alasan yang munasabah.

Pekerja mendakwa kerja menternak itu mampu menjana pendapatan sampingan dan meminta campur tangan kerajaan Pakatan Harapan supaya menyelesaikan isu berkenaan.

Menurut wakil kumpulan itu, R Vijayagandhi, keputusan Sime Darby  yang mengarahkan mereka memindahkan haiwan mereka itu adalah sangat mengejutkan.

"Bagaimana kami nak keluarkan ternakan haiwan kami daripada kawasan ladang dalam masa dua bulan? Ke mana kita nak pergi?

"Alasan Sime Darby bahawa membela lembu di kawasan akan merencatkan proses penanaman semula tidak boleh diterima. Kami menternak haiwan hampir seratus 100 tahun.

“Tidak pernah ada masalah pun kepada pemilik ladang," katanya kepada pemberita di hadapan pejabat Sime Darby, Ara Damansara, hari ini.

Terdahulu, puluhan penternak lembu dan kambing dari kawasan Lukut, Rantau, Port Dickson hari ini berkumpul di hadapan pejabat Sime Darby bagi menyatakan rasa tidak puas hati dengan keputusan itu.

Syarikat berkenaan dalam satu notis bertarikh 26 Julai lalu, memberi masa dua bulan kepada pekerja-pekerja untuk memindahkan semua haiwan ternakan mereka di ladang miliknya tanpa menyatakan sebarang alasan.

Namun menurut Vijayagandhi, adalah dipercayai bahawa syarikat mahu melaksanakan penanaman semula.

Pada bantahan pagi tadi, pekerja turut menyerahkan satu memorandum kepada Pengerusi Sime Darby Plantation Bhd, Abdul Ghani Othman supaya menarik balik notis tersebut dengan serta-merta.

"Kami sedia berbincang dengan Sime Darby. Duduk dan bincang dengan kami untuk mendapatkan 'win-win situation'," kata Vijayagandhi.

Turut hadir, wakil PSM dan MIC bagi memberikan sokongan moral.

Dihubungi kemudian, seorang pegawai Sime Darby memberitahu Malaysiakini bahawa akan membuat kenyataan media dalam masa terdekat.

Lihat Komen