malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Hadi perjelas sebab PAS sokong Iran
Diterbitkan:  Aug 7, 2019 8:23 PM
Dikemaskini: 12:23 PM
ADS

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang hari ini menjelaskan sebab PAS menyokong sikap Iran dalam pertembungan negara itu dengan AS adalah kerana sikap tegas Iran dalam memperjuangkan isu Palestin dan pembebasan Baitulmaqdis.

Kata Abdul Hadi, sikap tegas Iran boleh dilihat dalam pendirian negara itu menghalang rancangan AS yang didukung beberapa negara Arab bagi mengusir rakyat Palestin dari tanah air mereka.

“Seluruh negara umat Islam perlu bersatu menghalang usaha jahat yang ditaja musuh ini,” katanya seperti dipetik Harakahdaily.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Kedutaan Iran baru-baru ini.

Kata Abdul Hadi, AS merancang untuk menubuhkan negara baru di bumi Mesir buat rakyat Palestin, dengan syarat mereka harus meninggalkan tanah air Palestin.

Pada masa sama, katanya, Baitulmaqdis pula harus diserahkan kepada Israel.

Ketegangan hubungan Iran dan AS semakin meruncing apabila pada Jun, berlaku serangan ke atas dua kapal tangki minyak di Teluk Oman selain ancaman Iran untuk tidak mematuhi perjanjian nuklear 2015.

AS menuduh Iran bertanggungjawab atas serangan tersebut.

Seminggu selepas itu, Iran menembak jatuh dron perisik milik tentera AS yang terbang di sekitar selatan negara itu.

Presiden AS, Donald Trump menyifatkan tindakan itu sebagai “kesilapan yang teruk” dan berkata AS tidak akan bertolak ansur dengan tindakan itu.

Tidak lama kemudian, susulan sekatan AS terhadap Pemimpin Agung Iran Ayatollah Ali Khamenei dan lapan komander kanan tenteranya, jurucakap Menteri Luar Iran Abbas Mousavi menyifatkan "laluan diplomasi tertutup buat selamanya” antara mereka.

Sementara itu, Abdul Hadi yang juga anggota parlimen Marang memberi peringatan agar pengaruh mazhab Syiah tidak disebar ke dalam masyarakat Islam Malaysia bagi menjaga perpaduan umat Islam.

“Membangkitkan isu perbezaan mazhab dan perbahasan hukum yang tidak berkesudahan boleh merosakkan perpaduan umat Islam di negara majoriti Sunni khususnya Malaysia,” tambahnya, yang merujuk masyarakat Islam di negara ini yang mengamalkan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah dan mazhab Syafie.

Menurut Harakahdaily, kenyataan tegas Presiden PAS itu mendapat persetujuan oleh Duta Iran ke Malaysia, Marzieh Afkham.

Lihat Komen