malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Benar pelarian bekerja hanya undang masalah, kata MTUC
ADS

Kerajaan perlu membuat kajian menyeluruh sebelum membenarkan pelarian yang berada di negara ini bekerja, kata Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).

Bercakap kepada Malaysiakini hari ini, Presiden MTUC Abdul Halim Mansor, berkata terdapat banyak faktor kenapa kerajaan perlu berbuat demikian.

Pertama, menurut Abdul Halim, Malaysia tidak meratifikasi Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berhubung isu berkenaan, selain negara ini tidak dianggap sebagai negara ketiga.

"Kerajaan kita menerima pelarian atas dasar kemanusian. Jika pelarian dibenarkan bekerja sebagai tenaga buruh asing yang halal, ia membuka masalah lebih rumit dari.

"Misalnya mereka akan kekal di Malaysia dan PBB akan mengambil mudah berbanding cuba memindahkan mereka ke negara ketiga," katanya.

Selain itu Abdul Halim berkata jika kebenaran diberikan, negara ini mungkin akan dibanjiri dengan kedatangan pelarian yang hadir bersama keluarga masing-masing.

Keadaan itu, katanya, berbeza daripada tenaga buruh yang datang bersendirian untuk bekerja dan memiliki dokumen sah.

Masalah juga akan timbul, menurut Abdul Halim, dari segi petempatan dan tempat perlindungan.

Isu kesihatan jadi persoalan

"Adakah majikan bersetuju untuk menyediakan faedah dan kemudahan lain?

"Ini antara masalah yang mesti diperhalusi. Adakah Malaysia bersedia menjadi tumpuan orang hanyut yang menganggap ia destinasi mencari rezeki?" soalnya.

Abdul Halim berkata demikian sebagai mengulas cadangan agar manifesto PH bagi menangani isu pelarian di negara ini dinilai semula.

Semalam, Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran, berkata kerajaan tidak boleh mengabaikan manifesto PH yang sebelum ini berjanji untuk membenarkan pelarian di negara ini bekerja.

Kata Kulasegaran, meskipun belum ada keputusan muktamad mengenai perkara itu namun ada suara meminta kerajaan menimbang semula manifesto berkenaan.

"Jika anda tanya saya secara peribadi, ya saya fikir kita patut benarkan mereka bekerja di sini, sekurang-kurangnya sehingga mereka berpindah ke negara ketiga," katanya

Janji 35 dalam manifesto PH menyatakan kerajaan akan "mengabsahkan status mereka yang mempunyai kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) sebagai pelarian dan memberi kebenaran untuk mereka bekerja".

Mengulas lanjut, Abdul Halim berkata usaha kerajaan sebelum ini mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing juga dilihat tidak akan kesampaian apabila cadangan sedemikian dilaksanakan.

Tambah Abdul Halim, masalah kesihatan juga turut menjadi kebimbangan MTUC.

"Mereka pasti tiada pendaftaran kesihatan dan risiko membawa (penyakit) adalah amat tinggi. Masalah itu menjangkiti pekerja tempatan," katanya.

Selain itu, MTUC juga melihat dari sudut perlindungan hak-hak kerja dan sosial sekuriti.

"Bagaimanakah kita melindungi pekerja-pekerja ini dari sindiket pemerdagangan manusia?

"Kebanjiran tenaga buruh asing berdokumen seramai melebihi dua juta orang dan tenaga buruh asing haram sama banyak mengikut angka tidak rasmi itu.

"Apa akan terjadi kepada hak tenaga buruh tempatan untuk didahulukan dalam peluang pekerjaan?" soalnya.

Sehubungan itu, Abdul Halim berharap mesti mengutamakan tenaga buruh tempatan.

Katanya janji sebegitulah yang mesti ditunaikan berbanding menyediakan jalan keluar kepada isu pelarian yang mencari perlindungan di negara ini.

Lihat Komen