malaysiakini logo
story-image
ADS

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan membuka semula kes-kes yang diklasifikasikan sebagai NFA (tiada tindakan lanjut) sebelum ini untuk diteliti.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya berkata hal itu adalah sesuatu yang pasti dilakukan pihaknya.

"Kalau ia NFA, saya perlu 'menggali' ia dulu," katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Bagaimanapun Latheefa berkata beliau tidak dapat memberikan butiran lanjut mengenai hal itu buat masa ini.

Ditanya sejauh mana kes-kes NFA itu akan dibuka semula Latheefa sekali lagi tidak memberikan jawapan yang khusus namun membayangkan ia mungkin fail yang sudah lama.

"Fail-fail itu boleh jadi sudah terlalu lama," katanya.

Namun beliau sekadar memberi kenyataan "Tidak ada komen" apabila disoal sama ada fail-fail itu turut melibatkan kes di Sarawak.

Mei lalu pejabat Yang Dipertua Sarawak menyatakan SPRM mendapati Abdul Taib Mahmud bebas daripada sebarang salah laku walaupun sebelum itu beliau dikaitkan dengan beberapa dakwaan, termasuk pembukaan tanah secara haram di luar Taman Negara Mulu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM ketika itu, Mohd Shukri Abdull, berkata agensi antirasuah terbabit memerlukan bukti atau saksi baru sebelum boleh membuka semula fail yang mendakwa Abdul Taib terbabit dalam amalan rasuah.

"Berdasarkan siasatan kami, wujud beberapa kebenaran dalam tuduhan dibuat ke atas Abdul Taib. Bagaimanapun masalahnya ialah beliau tidak pernah membuat sebarang keputusan [...] beliau tidak menghadiri sebarang mesyuarat. Ada orang lain yang menghadiri mesyuarat berkenaan.

"Tidak pernah ada satu kes pun beliau (Abdul Taib) mempengerusikan mesyuarat. Orang lain yang membuat keputusan," kata Mohd Shukri.

Bulan lalu pula Anggota Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii berkata dia akan menemui Latheefa untuk membincangkan kemungkinan agar agensi itu membuka semula fail melibatkan Abdul Taib.

Kata Yaa, 15 kertas siasatan yang dibuka SPRM sebelum ini ditutup oleh Abdul Gani Patail yang menjadi peguam negara ketika itu.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen