Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad telah mengadakan perjumpaan tertutup bersama anggota parlimen, senator dan menteri besar dari Bersatu semalam.
Ketua Pemuda (Armada) Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkongsi gambar pertemuan tersebut pada ciapan di Twitter dengan petikan kenyataan menyokong Mahathir yang juga pengerusi parti.
"Perjumpaan tertutup YAB Tun M bersama semua ahli parlimen, senator, menteri besar dari Bersatu.
"Kami memberikan sokongan penuh kepada YAB Tun Dr Mahathir (Mohamad) dan akan fokus kepada perjuangan rakyat. Masalah rakyat, masalah kami.
"Tidak perlu bongkak dan sombong, ikhlas berkhidmat untuk semua," kata menteri belia dan sukan itu.
Difahamkan pertemuan berlangsung di Putrajaya.
Bagaimanapun, Syed Saddiq tidak menyatakan isi perbincangan dan tujuan pertemuan itu.
Malaysiakini sedang menghubungi pejabat Syed Saddiq bagi mendapatkan penjelasan lanjut.
Terdahulu, beberapa pemimpin kerajaan dan pembangkang menyuarakan sokongan supaya Dr Mahathir terus menjadi perdana menteri sehingga habis penggal.
Ini termasuklah, Presiden PAS Abdul Hadi Awang disusuli Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.
Mahathir berulang kali menegaskan beliau akan menunaikan janjinya untuk menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Anwar Ibrahim walaupun tidak menyatakan tempoh masa untuk berbuat demikian.
Semasa konvensyen sulung PH sebelum PRU14, pemimpin gabungan itu telah menandatangani perjanjian bahawa Mahathir akan menjadi perdana menteri ke-7 yang kemudiannya menyerahkan Perdana Menteri kepada Anwar.
Bagaimanapun perjanjian itu tidak menyebut tempoh masa untuk Mahathir untuk berbuat demikian.