Pengiklanan

    Isu hangat Jawi di media sosial perlu ditangani secara bijaksana - Pensyarah

    (Dikemaskini )

    Kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu menangani secara bijaksana kontroversi berkaitan pengenalan tulisan Jawi dalam subjek Bahasa Malaysia untuk Tahun 4 khususnya di media sosial, kata ahli akademik.

    Pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Komputeran, Universiti Selangor (Unisel), Ismail Hashim Yahaya berkata, pada masa ini sesiapa sahaja boleh menyatakan pandangan biarpun bertentangan fakta sebenar.

    "Kalau tak ditangani dengan bijaksana ia berbahaya. Sebab kerajaan PH masih muda, jadi banyak benda tak boleh kawal. Kalau kita tengok macam huru-hara (di media sosial)," katanya kepada Malaysiakini.

    Justeru itu Ismail berkata adalah perlu bagi kerajaan menggunakan semua saluran media untuk menjelaskan perkara sebenar dan berhadapan pihak yang mengkritik usaha tersebut.

    "Ini adalah idea lawan idea. Jika idea kamu itu boleh menguasai, maka hegemoni kamu menang,” tambahnya.

    Pengenalan tulisan khat Jawi oleh Kementerian Pendidikan untuk murid Tahun 4 mencetuskan kontroversi sehingga hangat diperkatakan di media sosial.

    Kaum Melayu dilihat menerima baik cadangan itu, manakala rata-rata masyarakat bukan Melayu pula membantah pengajaran tulisan Jawi di sekolah jenis kebangsaan.

    Ini menyebabkan berlakunya 'perang' di media sosial antara mereka yang menyokong dan membantah.

    Sementara itu, Pensyarah kanan di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mohd Amirul Akhbar Mohd Zulkifli berkata, perancangan kerajaan tidak sepatutnya dipengaruhi pandangan daripada media sosial.

    Menyatakan beliau bersetuju dengan pengenalan khat Jawi di sekolah, Amirul bagaimanapun menjelaskan adalah menjadi tanggungjawab kerajaan memberi maklumat jelas tentang rancangan itu.

    “Kamu tak boleh ubah persepsi pengguna media sosial, mereka ada perspektif sendiri. Inilah pentingnya pihak kementerian menerusi agensinya, menerangkan secara jelas, akan sebab musabab kepada pengenalan (rancangan itu).

    “Di sinilah letaknya kebijaksanaan kementerian yang terbabit," katanya.

    Beliau dalam pada itu turut menyatakan kebimbangan mengenai perancangan Kementerian Pendidikan yang dilihat tidak komprehensif sebelum ini.

    "Contohnya, Maszlee dulu kata nak buat kursus berenang buat pelajar. Itu rancangan yang bagus untuk pendedahan murid. Apa jadi?

    “Bila dah jadi viral, senyap macam tu saja. Sekarang, hendak buat khat pula, terjadi pula isu (sama) melibatkan (kontroversi) di media sosial.

    “Media sosial sentiasa ada perspektif tersendiri. Tapi kita kena tegas dengan polisi kita. Tapi untuk berlaku tegas itu, mestilah ada polisi yang komprehensif,” katanya kepada Malaysiakini. 

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih