malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Daim: Dasar ekonomi tak lagi harus tertumpu pada isu kaum, agama
Diterbitkan:  Aug 5, 2019 5:30 PM
Dikemaskini: 9:30 AM
ADS

Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (MPK), Daim Zainuddin hari ini berkata dasar baru berkaitan ekonomi negara perlu berteraskan kepada pendekatan berasaskan keperluan, dan bukan lagi menumpu kepada semata-mata isu perkauman atau keagamaan.

Katanya, sudah sampai masanya, kerajaan memperkenalkan pendekatan baru, segar dan benar-benar dapat mengubah kehidupan mereka yang selama ini tidak memperoleh manfaat daripada pembangunan negara.

“Kerajaan perlu mengambil kira dan mendekati dilema Bumiputera dengan perspektif baharu untuk memastikan semua rakyat Malaysia mendapat bahagian saksama daripada kemakmuran negara.

“Apa-apa dasar yang mahu dilaksanakan kerajaan perlu memberi keadilan kepada semua,” katanya yang dipetik oleh portal Berita Harian Online semasa berucap pada Persidangan Antarabangsa Kebangkitan Isu Dasar Awam: Aliran dan Unjuran Global di Universiti Malaya, Kuala Lumpur, hari ini.

Daim yang juga bekas menteri kewangan berkata, perlu diakui tindakan mengekalkan orang Melayu dalam kepompong mereka hanya akan menyebabkan bangsa ini terus jauh ketinggalan berbanding kaum lain.

“Kaum lain bersaing antara satu sama lain termasuk persaingan pada peringkat dunia, tetapi orang Melayu masih berhadapan pelbagai retorik politik yang menyebabkan mereka terus ‘disuap’ dan dimanjakan.

“Ini hanya akan melemahkan orang Melayu dan dalam senario ekonomi global, perkara ini tidak memberi kesan baik kepada mereka,” katanya.

Beliau juga dipetik sebagai berkata, dasar berkaitan bumiputera juga tidak boleh diteruskan jika ia hanya sekadar menguntungkan kelompok tertentu dan mengabaikan hak orang lain yang lebih memerlukan bantuan berkenaan.

“Kita harus mengakui memang ramai bumiputera miskin, namun ada juga dalam kalangan kaum lain yang miskin dan menghadapi masalah taraf hidup rendah.

“Kita mesti juga akui ada antara rakyat diabaikan dan dibiarkan serta tidak mendapat keadilan, bahkan tidak berpeluang mengambil bahagian dalam pembangunan dan pertumbuhan negara ini.

“Saya merujuk perkara ini kepada komuniti orang Asli, golongan miskin bandar dan penduduk luar bandar serta semua orang yang tidak mendapat faedah daripada agenda nasional.

“Selain itu, ada orang yang sepatutnya menerima biasiswa MARA dan belajar di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) tetapi diketepikan oleh mereka yang sepatutnya mampu membayar kos pendidikan mereka sendiri,” katanya.

Portal Berita Harian juga memetiknya sebagai berkata, dasar B40 adalah dasar bijak kerana bantuan diberikan tanpa mengira kaum, tetapi berdasarkan keutamaan dan keperluan.

“Sebagai majoriti kalangan kumpulan B40, Bumiputera masih mendapat faedah paling banyak. Mereka yang tidak layak mendapatkan bantuan, tidak sepatutnya mendapat bantuan dan ini sepatutnya berlaku, ” katanya.

Daim berkata, Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan oleh Abdul Razak Hussein pada 1971 berjaya mengurangkan kemiskinan tegar, menaikkan kelas pertengahan dan mempelbagaikan ekonomi.

Bagaimanapun, katanya, masih wujud kelemahan menyebabkan ada pihak menyalahgunakannya sehingga mereka yang layak menerima bantuan dinafikan hak.

Beliau turut menekankan keperluan kerajaan mewujudkan dasar ekonomi baharu yang memberi tumpuan kepada isu globalisasi dan tidak terhad kepada isu tempatan semata-mata.

“Untuk terus bertahan dan berkembang, Malaysia perlu selari dengan kemajuan rakan global lain dan tidak kekal dengan mentaliti silo.

“Kita perlu melihat peluang memanfaatkan kekuatan dan kelebihan Malaysia seperti industri halal, pertanian, pelancongan, minyak sawit, seni dan budaya.

"Untuk memanfaatkan kelebihan ini, kita perlu meningkatkan kerjasama dan hubungan global,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen