Seramai 198 ketua cabang PKR seluruh negara hari ini dikatakan menyokong penuh presiden parti itu, Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri kelapan.
Ketua Cabang PKR Kangar, Noor Amin Ahmad mendakwa mewakili 198 ketua cabang parti berkata, sokongan itu membuktikan PKR masih utuh dan tidak berlaku pergolakan dalaman.
"Kami, ketua-ketua cabang mengambil inisiatif untuk menghubungi semua ketua cabang PKR di seluruh negara untuk menyatakan pendirian jelas dan tegas menyokong kepimpinan Anwar selaku presiden PKR dan juga perdana menteri kelapan.
"Atas semangat ini, kami yang mewakili (198) ketua cabang PKR seluruh negara (melebihi 90 peratus) terpanggil untuk menyatakan sokongan padu kepada presiden, untuk memacu dan memimpin parti dalam meneruskan idealisme perjuangan reformasi serta menjadi tonggak utama Pakatan Harapan (PH).
"Sokongan ini secara langsung membuktikan PKR masih utuh dan bersatu dibawah pimpinan Anwar sekali gus menepis persepsi dan tanggapan bahawa PKR sedang bergolak dan berpecah.
"Kami komited mendukung Anwar untuk menerajui negara sebagai perdana menteri kelapan seperti yang telah dipersetujui bersama oleh pimpinan PH menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14," katanya dalam sidang media, petang ini.
PKR memiliki 219 cabang di seluruh negara.
Sebelum ini, tercetus pergeseran antara Anwar dan timbalannya, Mohamed Azmin Ali selepas tersebar video seks sejenis yang dikaitkan dengan menteri hal ehwal ekonomi itu.
Pada 17 Julai, Anwar berkata Azmin perlu meletakkan jawatan sekiranya terbukti beliau dikaitkan dengan video intim berkenaan.
Menjawab saranan Anwar, Azmin kemudiannya meminta supaya MP Port Dickson itu supaya "cermin diri" bermuhasabah terlebih dulu.
Pada 29 Julai lalu, Azmin pula menyatakan sokongan kepada Mahathir untuk diberi peluang memimpin hingga ke akhir penggal bagi menjamin kestabilan, kesinambungan dan ketuntasan dasar-dasar kerajaan.
Beliau berkata demikian bagi mengalu-alukan kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang menegaskan pendirian dukungan parti itu dan sekutunya Umno kepada Mahathir.
Dalam pada itu, Noor Amin berkata sokongan itu diperoleh berdasarkan kepada perakuan ketua-ketua cabang yang menandatangani Resolusi Majlis Pemukiman Pimpinan PKR pada 21 Julai 2019 di Port Dickson.
Sementara itu, Noor Amin berkata PH perlu berpegang kepada perjanjian untuk mengangkat Anwar sebagai perdana menteri kelapan seperti mana telah dipersetujui sebelum ini.
"Kita sebut isu peralihan kuasa bukan saja keputusan PKR dan ketua cabang tapi ketetapan dah dibuat secara bersama dan diakui pimpinan semua parti termasuk perdana menteri.
"Cuma mungkin tak ada tarikh khusus... kalau tanya org PKR mungkin ada yang kelmarin (semalam) lagi nak (Anwar) jadi perdana menteri," katanya yang juga anggota parlimen Kangar.