malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Amanah dicadang tubuh unit khas urus pengundi muda
ADS

Pemuda Amanah Kelantan mencadangkan supaya unit khas diwujudkan oleh parti itu bagi menguruskan hal ehwal pengundi muda sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Ketua Pemuda Amanah Kelantan Hazmi Hassan berkata, perubahan had umur minimum pengundi kepada 18 tahun merupakan cabaran baru termasuk kepada Pemuda Amanah.

"Langkah segera perlu diambil untuk mewujudkan dukungan dan sokongan kelompok termuda ini. Persiapan pilihan raya di masa hadapan perlu diberi perhatian khusus terhadap strategi meraih sokongan pengundi muda ini.

"Kejayaan kerajaan meluluskan pindaan perlembagaan sehingga golongan belia berusia 18 tahun layak untuk mengundi dan layak menjadi calon dalam pilihan raya adalah satu perubahan yang perlu disambut baik

"Justeru, saya mencadangkan agar kita mewujudkan unit khas untuk menguruskan soal pengundi muda. Advokasi kesedaran politik dan pilihan raya wajar digerakkan oleh Pemuda Amanah.

"Pengundi muda ini mempunyai minat dan kecenderungan yang perlu digarap dan dipandu arahnya," katanya dalam kenyataan media sempena Konvensyen Pemuda Amanah Kelantan 2019, yang berlangsung di Kota Bharu, semalam.

Pada konvensyen tersebut, Hazmi turut berjaya mengekalkan posisinya sebagai ketua Pemuda Amanah Kelantan bersama 16 ahli jawatankuasa lain yang dimenangi tanpa melibatkan pertandingan.

Sementara itu, Hazmi ketika dihubungi berkata, Amanah perlu membuat persediaan serapi mungkin bagi mendampingi golongan belia seawal usia dalam usaha memberi kefahaman dan penerangan mengenai perjalanan dasar-dasar kerajaan serta kepentingan pilihan raya.

"Sebab itu kita perlukan unit khas untuk menguruskan segmen pengundi muda di samping menjalankan kerja pengumpulan data-data pengundi baru.

"Berdasarkan data-data yang diperolehi nanti, akan memudahkan parti untuk mendekati golongan sasar bagi menerangkan kepentingan mengundi dan menyalurkan maklumat-maklumat tepat.

"Usaha ini penting bukan sahaja untuk mewujudkan kesedaran demokrasi dalam kalangan belia, bahkan dengan harapan golongan ini dilahirkan sebagai pengundi bermaklumat menjelang PRU akan datang," jelasnya.

Lihat Komen