malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Maszlee sedia bincang cadangan kaligrafi lain diajar di sekolah
ADS

Menteri Pendidikan Maszlee Malik hari ini menyatakan kesediaan kementeriannya untuk membincangkan cadangan bentuk kaligrafi lain selain khat untuk diajar di sekolah.

"Itu (cadangan) menarik untuk dibincangkan ...," kata Maszlee kepada pemberita ketika ditemui selepas final Piala Debat Perdana Menteri di Dewan Merdeka, PWTC, di Kuala Lumpur hari ini.

Kata Maszlee, idea itu menarik dalam konteks kaligrafi sebagai bentuk seni.

"Dalam mata pelajaran Seni, kita menumpukan perhatian kepada seni daripada pelbagai budaya dan etnik di Malaysia," katanya.

Maszlee berkata demikian ketika diminta memberikan pendapat berhubung cadangan kumpulan persatuan Cina agar semua sekolah mempelajari tentang seni kaligrafi daripada pelbagai kaum.

Penyelidik bebas sejarah Tang Ah Chai semalam berkata idea itu mula-mula dicadangkan kepada Maszlee semasa mesyuarat pada 1 Ogos.

Antara yang dikatakan menghadiri mesyuarat itu ialah Timbalan Presiden Dong Zhong Tan Yew Sing dan penganalisis politik Wong Chin Huat.


Kiniguide: Menjawab persoalan tulisan khat dalam subjek BM darjah 4


Menurut Tang, kumpulan berkenaan membuat cadangan itu ketika membincangkan bagaimana pengenalan khat akan mempengaruhi sekolah vernakular Cina.

Naib Presiden Amanah Mahfuz Omar, yang mengalu-alukan pengenalan khat untuk menghidupkan semula tulisan jawi, sebelum ini juga menyatakan cadangan serupa agar bentuk kaligrafi lain turut diajar di sekolah.

Sementara itu, Maszlee juga berkata beliau secara peribadi bertemu dengan editor dari beberapa akhbar Cina, untuk menjelaskan langkah kementerian dan menekankan penambahbaikan yang dibuat supaya pengajaran dan pembelajaran khat tidak akan membebankan guru atau pelajar.

Pada masa ini, Kementerian Pendidikan merancang untuk memperkenalkan enam muka surat mengenai tulisan khat dan Jawi dalam sukatan pelajaran Darjah 4 Bahasa Melayu bermula tahun depan.

Lihat Komen