malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Najib tegur ahli Umno 'tembak-menembak' sesama sendiri
Diterbitkan:  Aug 3, 2019 6:44 PM
Dikemaskini: 10:47 AM
ADS

Pengerusi Lembaga Penasihat BN, Najib Razak, hari ini mengakui aktiviti 'tembak-menembak' dalam kalangan anggota Umno mula bercambah sejak akhir-akhir ini ketika parti itu semakin giat bekerjasama dengan PAS.

Menurut Najib tindakan anggota Umno terbabit hanya akan merencatkan usaha pemimpin mahu membina perpaduan dan kekuatan dalam parti berkenaan.

Dipetik Utusan Online Najib berkata kecenderungan tembak-menembak sesama anggota Umno wujud sedikit demi sedikit sejak kebelakangan ini.

“Kita mesti melihat kepada usaha menyatu-padukan UMNO sebagai parti yang kalah pada pilihan raya umum, jadi ini bukan masanya untuk kita tembak sesama sendiri, tetapi bagaimana kita mahu meningkatkan kekuatan parti," katanya di Kemaman, Terengganu hari ini.

Bekas perdana menteri itu hadir merasmikan persidangan Umno Kemaman. Turut hadir anggota Majlis Tertinggi Umno yang juga bekas menteri, Ahmad Shabery Cheek, dan Pengerusi Umno Terengganu merangkap bekas menteri besar, Ahmad Said.

Umno berdepan beberapa kritikan dalaman sejak parti itu - dan BN - gagal mendapatkan mandat rakyat untuk kekal menjadi kerajaan pada 9 Mei tahun lalu.

Najib adalah presiden Umno dan pengerusi BN pertama dikalahkan pembangkang dalam PRU sejak negara merdeka lebih 60 tahun silam.

Krisis dalaman bermula apabila skandal 1MDB dibongkar yang menyaksikan sebahagian pemimpin kanan Umno dipecat atau meninggalkan parti itu.

Pendakwaan puluhan kes rasuah, salah guna kuasa dan pecah amanah membabitkan Najib serta bekas timbalan perdana menteri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut menyaksikan beberapa pemimpin kanan Umno mengkritik kepemimpinan parti.


Baca KJ: Saya tak akan berhenti tegur Umno


Ia kemudian mendorong Najib meletak jawatan sebagai presiden Umno, dan Ahmad Zahid bercuti seketika daripada tugasnya sebagai presiden parti.

Kembalinya kedua-dua mereka dalam barisan kepemimpinan Umno dan BN sekali lagi menyaksikan sesetengah anggota parti mengkritik langkah tersebut kerana dianggap hanya memberi imej negatif pada mata orang ramai.

Menurut Najib jika anggota Umno masih mahu 'menembak' sasaran yang sepatutnya ialah PH yang dilabelnya sebagai "banyak dosa".

“Kalau kita nak tembak, kita tembak Pakatan Harapan (PH) sebab mereka banyak dosa kepada rakyat,” katanya.

Lihat Komen