malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Amanah sokong tulisan khat dalam subjek Bahasa Melayu tahun 4
Diterbitkan:  Aug 3, 2019 5:24 PM
Dikemaskini: 9:24 AM
ADS

Parti Amanah Negara (Amanah) menyokong rancangan Kementerian Pendidikan untuk memperkenalkan tulisan khat dalam sukatan pelajaran Bahasa Melayu Tahun 4 yang dijadual dilaksanakan mulai tahun depan.

Naib Presidennya, Mahfuz Omar berkata, apa yang dihasratkan kerajaan itu dilihat dapat memperkasakan semula tulisan jawi serta memastikan murid-murid tidak ketinggalan dalam seni penulisan khat.

“Bagi saya tidak ada masalah pun seni khat ini diperkenalkan, cumanya kadang-kadang kita dimomokkan dengan sentimen seolah-olah ia ke arah hendak mengislamkan orang bukan Islam, ini tidak benar kerana ia satu seni, tulisan khat sangat cantik.

“Bukan sahaja tulisan Jawi, tulisan lain termasuk tulisan kaligrafi Cina juga boleh diketengahkan kerana ia berkaitan dengan seni tulisan yang membawa kebaikan dan boleh juga menjana pendapatan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Hari Terbuka Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkseso) di Alor Setar, hari ini.

Semalam, Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan berkata pengenalan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun Empat pada tahun hadapan akan dilaksanakan seperti yang dijadualkan.

Mengulas lanjut, Mahfuz yang juga timbalan menteri sumber manusia berkata beliau yakin Kementerian Pendidikan akan memberi pemahaman kepada semua pihak atas pelbagai isu yang ditimbulkan mengenai pelaksanaan perkara itu.

Sementara itu di Seremban, Negeri Sembilan, Ketua Pemuda Amanah, Mohd Sany mencadangkan agar tulisan seni dari kaum lain turut didedahkan dan dipelajari setiap kaum dalam negara.

Katanya bukan setakat mempelajari tulisan khat, tetapi bahasa asing lain seperti tulisan Cina dan India juga boleh dipelajari kerana ia merupakan satu budaya dan peninggalan nenek moyang.

Beliau berkata setiap masyarakat mempunyai sejarah dan budaya mereka tersendiri dari segi bahasa, pakaian kerana Malaysia ini merupakan sebuah negara berbilang bangsa dan budaya.

"Oleh itu, saya sangat menggalakkan penyuburan budaya dan kepelbagaian etnik kerana ada budaya-budaya baik dari sesebuah kaum itu boleh dijadikan panduan dan contoh,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Konvensyen Pemuda Amanah Negeri Sembilan 2019 hari ini.

- Bernama

Lihat Komen