malaysiakini logo
story-image
ADS

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Razlan Rafii mempersoalkan bantahan DAP terhadap cadangan memperkenalkan pengajaran tulisan khat dalam kurikulum Bahasa Melayu bagi tahun 4 di sekolah jenis kebangsaan.

Razlan berkata bantahan tersebut tidak wajar kerana kaligrafi jawi telah wujud sejak sekian lama dan telah digunakan sejak sebelum negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.

"Banyak juga plak-plak kenamaan dan perjanjian kenamaan dari dahulunya guna tulisan Jawi. Jadi ia bukan ada kaitan sangat dengan agama Islam," katanya kepada Malaysiakini.

Baru-baru ini, seramai 11 Adun, 14 pemimpin akar umbi dan pemimpin DAP serta 138 cawangan dan jawatankuasa parti itu di peringkat parlimen membantah cadangan yang dillhamkan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik minggu lepas.

Bagaimanapun, Adun Keranji Chong Zhemin dan Adun Jelapang, Cheah Pou Hian menarik balik desakan mereka agar DAP dan kementerian mengkaji semula isu itu.

'Seperti isytihar perang terhadap Melayu' 

Razlan berkata langkah mengumpul sokongan persatuan-persatuan Cina untuk menentang cadangan itu seperti "mengisytiharkan perang terhadap Melayu.".

"Jadi sepatutnya perkara ini tak berlaku, sebab kementerian pendidikan yang kita difahami sudah melaksanakan bengkel untuk memberi penerangan kepada Adun-Adun dan MP, dan ia sudah dapat persetujuan secara kolektif. Ada yang tak setuju, tapi majoritinya okey dan boleh move on.

"Jadi DAP jangan tunjuk sikap mereka yang anti-Melayu dan budaya Melayu," katanya.

Razlan berkata DAP sepatutnya lebih faham dan membantu kerajaan dengan mengembangkan penggunaan tulisan Jawi dalam bahasa Melayu serta bukan "menjadi penghalang".

Dalam satu kenyataan pada 2 Ogos, pemimpin akar umbi DAP berkata pelajar sekolah vernakular telah dibebankan oleh "tiga bahasa dan tiga sistem tulisan" pada masa ini.

"Kami bukan tak setuju bahawa 'khat' mempunyai nilai artistik, tetapi orang ramai harus digalakkan untuk menghargainya sendiri dan bukan dibuat dasar," kata mereka.

Kumpulan itu mendakwa pengajaran seni khat adalah satu usaha untuk menginstitusi dan mempolitikkan tulisan Jawi.

Kementerian Pendidikan bagaimanapun dalam satu kenyataan Khamis lalu menjelaskan pengenalan tulisan khat adalah untuk memupuk gaya penulisan yang indah.

Kementerian itu menegaskan perkara tersebut tidak berkaitan dengan tulisan Jawi dan pelajar tidak dinilai di dalam peperiksaan.

Daripada 162 muka surat dalam buku teks Bahasa Melayu, enam muka surat dikhususkan untuk tulisan khat. 

Lihat Komen