malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Keputusan kabinet terhadap Lynas bukan paling ideal, kata menteri
ADS

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin menyifatkan keputusan kabinet untuk melanjutkan permit operasi Lynas selama enam bulan lagi bukan keputusan “paling ideal”.

Bagaimanapun, tambah anggota parlimen Bakri itu lagi, setidak-tidaknya keputusan yang dicapai kabinet itu jauh lebih baik daripada keadaan sekarang.

“Kabinet telah mengambil perhatian tentang isu ini, tapi beberapa orang ada pandangan yang berbeza. Oleh itu, keputusan telah pun dicapai.

“Apa saya boleh katakan ialah, keputusan yang dicapai bukan yang paling ideal, bagi sayalah. Bukan paling ideal, tapi lebih baik daripada status quo. Lebih baiklah,” kata Yeo kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Karnival Minggu Sains Negara 2019, di Pustaka Raja Tun Uda, Seksyen 13, Shah Alam.

Yeo diminta mengulas sama ada Lynas dibenarkan menyimpan sisa penulenan air larut lesap (WLP) di Malaysia atau pun tidak berikutan laporan bahawa kabinet telah mencapai keputusan menggugurkan syarat yang diumumkannya agar Lynas menghantar sisa WLP keluar dari Malaysia. 

Keputusan dicapai majoriti

Mengulas lanjut, Yeo berkata, keputusan kabinet akan diumumkan secara terperinci selewat-lewatnya 15 Ogos melalui satu kenyataan media.

“Apa yang diumumkan perdana menteri adalah sebahagian daripada apa yang kita bincangkan. Ulasan kementerian dan pandangan peribadi saya telah dibentangkan kepada kabinet. Anggota jemaah menteri lain pun melontarkan pandangan mereka.

“Keputusan kabinet telah dicapai melalui majoriti,” tambahnya lagi.

Beliau dipercayai merujuk kenyataan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bahawa kerajaan masih menunggu cadangan Lynas dalam mengendalikan sisa pemprosesan nadir bumi, termasuk tempat mereka akan melakukan pelupusan sisa.

Tahun lalu, Mestec mengarahkan Lynas menghantar WLP - yang pada ketika ini lebih 451,654 tan - ke Australia sebelum 2 September tahun ini, tarikh sama lesen penyimpanan sementara syarikat itu tamat.

Ia adalah salah satu daripada dua pra-syarat yang ditetapkan oleh kementerian, selain menetapkan agar syarikat itu mengemukakan pelan tindakan mengenai pelupusan sisa aliran bawah tanah (NUF).

Pagi ini, berpandukan laporan sumber, Malaysiakini melaporkan kerajaan dijangka melanjutkan permit operasi kilang pengeluaran nadir bumi selama enam bulan bagi memperbaharui permitnya yang akan berakhir 2 Sept.

Bagaimanapun, difahamkan semua menteri yang membantah operasi Lynas ketika berada dalam pembangkang, tetap konsisten dengan pendirian mereka.

Keputusan untuk menggugurkan syarat penghantaran sisa ke luar negara juga dikatakan dicapai tanpa sebulat suara.

Mengulas hal itu, Yeo menjelaskan, dari segi perundangan, Lynas hanya boleh membuat permohonan pembaharuan lesen 30 hari sebelum tarikh tamat lesen, iaitu semalam (2 Ogos).

“Permohonan masih dibuat, proses-proses dan prosedur perlu diambil sebelum kenyataan rasmi yang terpeinci diumumkan kepada semua (selewat-lewatnya 15 Ogos).

“Bukan itu saja, kita ada syarat lain juga. Jadi (biarpun) itu adalah apa yang dicapai (keputusan), pandangan saya adalah tetap sama seperti dulu," katanya menambah Mestec akan bertindak berdasarkan keputusan kabinet.

Tak halang bantahan orang ramai

Selain itu, Yeo turut memaklumkan beliau akan mengadakan pertemuan dialog dengan anggota parlimen yang mempuyai kebimbangan terhadap keputusan kabinet itu pada Selasa depan.

Biarpun tidak menyebut secara langsung, beliau dipercayai merujuk beberapa pemimpin yang konsisten menyuarakan bantahan terhadap operasi Lynas sejak dahulu, antaranya Anggota Parlimen Bentong, Wong Tack dan Anggota Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh.

Disoal tentang niat NGO Save Malaysia Stop Lynas (SMSL) untuk menganjurkan protes terhadap keputusan kerajaan itu, Yeo mengulas bahawa dia tidak mempunyai masalah terhadap perkara itu.

“Saya rasa semua rakyat Malaysia berhak untuk menyuarakan pandangan mereka, dan saya tak akan halang perhimpunan sebegitu,” katanya lanjut.

Semalam, SMSL mengumumkan pihaknya sedang dalam pertimbangan untuk memfailkan semakan kehakiman sekiranya kerajaan membuat keputusan mengetepikan syarat yang dikenakan sebelum ini terhadap Lynas berhubung berhubung pelupusan sisanya di Gebeng, Kuantan.

Kata jurucakapnya, Tan Boon Teet, pihaknya pada awal bulan lepas telah meminta untuk bertemu perdana menteri sebelum keputusan muktamad mengenai pelanjutan permit Lynas dibuat kabinet.

Bagaimanapun, katanya, tiada persetujuan diberikan Pejabat Perdana Menteri berhubung permohonan tersebut. 

Lihat Komen