malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Menjawab persoalan tulisan khat dalam subjek BM darjah 4
ADS

PANDUANKINI | Pengenalan "seni khat" dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia bagi murid darjah empat mengundang bantahan sejumlah ahli politik dan masyarakat sivil.

Tetapi apakah sebenarnya bentuk pengenalan seni itu? Adakah kritikan terhadapnya mempunyai hujah yang kuat? Kiniguide kali ini menjelaskan fakta dan konteks berkenaan isu tersebut.

Adakah murid perlu belajar satu lagi bahasa tambahan?

Ada pihak yang bimbang murid yang belajar di sekolah jenis kebangsaa (SJK) sudah pun mempelajari tiga bahasa dan pengenalan seni khat akan membebankan mereka.

Ini adalah satu salah faham kerana Jawi ialah jenis tulisan dan bukannya bahasa. "Seni khat" bukan mata pelajaran baru.

Menurut Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) Bahasa Melayu SJK Darjah 4, Kementerian Pendidikan bertujuan mengembangkan kamahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis murid, serta mempelajari aspek seni bahasa dan tatabahasa.

Pengenalan "seni khat" ialah salah satu cara untuk belajar seni bahasa. Selain itu, ada juga pelajaran peribahasa, sajak, lirik dan cerita.

Secara ringkas, seni khat hanyalah satu bahagian kecil dalam kelas Bahasa Malaysia.

Sebanyak mana yang perlu dipelajari? Apa kandungannya?

Menurut Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching, buku teks BM yang diperkatakan merangkumi 24 bab dengan 162 muka surat.

Ada bahagian kecil berkenaan seni bahasa pada setiap bab. Ada empat jenis kegiatan seni bahasa, iaitu bercerita, deklamasi sajak, nyanyian lagu dan khat. Setiap jenis seni bahasa dimasukkan dalam enam bab.

Hanya enam daripada 162 muka surat buku teks diperuntukkan untuk seni khat.

Buku teks itu masih dalam bentuk draf dan belum dicetak atau diterbitkan. Kementerian Pendidikan enggan memberikan salinannya apabila diminta Malaysiakini.

Kementerian itu mengadakan pertemuan dengan perwakilan kumpulan pendidikan Cina dan Tamil pada Julai lalu. Bagaimanapun penganjur melarang gambar diambil ketika pertemuan itu.

Menurut edisi terbaru KSSR SJK Darjah 4 Bahasa Melayu, bertarikh April 2018, murid perlu belajar menulis simpulan bahasa dalam bentuk khat, dan juga mengenal dan menyebut abjad Jawi yang ditulis mereka.

Menurut sumber yang ada ketika pertemuan itu, sejumlah halaman dalam buku teks mengajar murid untuk menulis simpulan bahasa dalam Jawi.

Misalnya murid perlu belajar menulis simpulan bahasa "ringan tulang" dalam Jawi, yang menggunakan lapan abjad Jawi.

Selain menulis, murid perlu belajar menyebut setiap bunyi abjad.

Pembelajaran khat dijangka dipelajari sebanyak lima hingga enam kali sepanjang tahun persekolahan.

Apa kaitan tulisan Jawi dengan bahasa Melayu?

Sitem tulisan bahasa Melayu mengalami perubahan sepanjang beberapa abad lalu, dan Jawi merupakan sistem yang digunakan pada masa lalu.

Sistem tulisan sekarang, iaitu Rumi, berdasarkan abjad Latin dan diperkenalkan di Nusantara pada abad ke-16.

Antara sistem tulisan paling awal bahasa Melayu ialah adaptasi daripada sistem yang digunakan untuk bahasa Sanskrit, yang berasal dari India.

Sejak abad ke-8 hingga abad ke-13, Bahasa Melayu Kuno ditulis menggunakan pelbagai sistem tulisan seperti Rencong, Pallava dan Kawi.

Semua sistem ini berasal daripada abjad Brahmi yang tersebar di Nusantara bersama-sama agama Hindu dan Buddha pada masa itu.

Tulisan Jawi diperkenalkan di Nusantara bersama dengan ketibaan dan penyebaran Islam pada era 1300-an. Oleh kerana tulisan itu lebih berkesan dalam membantu pemahaman teks agama seperti al-Quran dan hadis, ia digunakan secara meluas dan mengambil tempat sistem tulisan berasaskan Brahmi.

Selepas kemerdekaan Malaya, pelaksanaan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1957 menyatakan Rumi sebagai tulisan bagi bahasa Kebangsaan tetapi pada masa sama tiada larangan terhadap penggunaan Jawi.

"Tulisan bagi bahasa kebangsaan ialah tulisan Rumi: dengan syarat bahawa ini tidak melarang penggunaan tulisan Melayu, yang lebih dikenali dengan nama tulisan Jawi, bagi bahasa kebangsaan," menurut seksyen 9 akta itu.

Adakah dasar ini diperkenalkan kerajaan semasa?

Menurut laman rasmi Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK) Kementerian Pendidikan, semakan terakhir KSSR Bahasa Melayu Darjah 4 adalah pada 2017, sementara semakan terbaru dokumen KSSR bertarikh April 2018 - sebulan sebelum Pakatan Harapan (PH) menang PRU ke-14.

"Aspek seni bahasa merujuk keindahan, kehalusan dan kebahasaan dalam bahasa Melayu yang perlu difahami dan dikuasai oleh murid. Penguasaan aspek seni bahasa merangkumi kecekapan memahami, mengungkap dan menghayati bahasa yang indah," menurut KSSR.

"Pada Tahap II, murid diperkenalkan dengan seni khat bagi memberi pendedahan tentang seni penulisan khat melalui pembelajaran peribahasa. Hal ini diharapkan dapat memupuk minat murid terhadap penulisan khat.

"Melalui pembelajaran aspek ini, murid menghasilkan dan mempersembahkan karya kreatif pelbagai genre secara lisan dan bertulis melalui variasi teknik yang menarik. Aspek seni bahasa juga menzahirkan pembelajaran yang menyeronokkan secara didik hibur."

Jika Kurikulum Standard disemak dua tahun lalu, mengapa ia jadi isu sekarang?

Pada 25 Julai, akhbar Sinchew Daily menerbitkan laporan khas di halaman utama yang memetik pengetua sekolah yang tidak dinamakan, sebagai berkata guru-guru pelajar bahasa Melayu sekolah itu menjalani latihan. Panduan pengajaran yang diterima guru-guru itu menunjukkan khat Jawi telah dimasukkan dalam kurikulum.

Walaupun kandungan sebenar dalam buku teks tidak jelas, panduan itu dilaporkan menyebut ia bertujuan mengembangkan penghargaan seni melalui khat Jawi, tetapi tidak menyebut berkenaan tatabahasa atau aplikasi tulisan Jawi.

Pada hari sama, Kementerian Pendidikan mengeluarkan kenyataan menjelaskan pengenalan seni khat merujuk kepada "seni khat dalam Bahasa Malayisia" dan bukan "tulisan Jawi".

Keesokannya, Kementerian Pendidikan mengadakan pertemuan town hall untuk menegaskan dasar itu belum muktamad dan tertakluk kepada perbincangan dan akan menimbang pandangan pelbagai pihak.

Beberapa halaman dalam draf buku teks ditunjukkan kepada hadirin. Difahamkan halaman itu sebenarnya untuk mengajar murid menulis simpulan bahasa dalam tulisan Jawi.

Sebab kenyataan awal kementerian mengatakan ia bukan tulisan Jawi tidak diketahui.

Apakah asas bantahan terhadap pengenalan seni khat?

Selepas isu ini timbul, rancangan untuk memperkenal khat Jawi dalam buku teks menerima bangkangan sejumlah ahli politik dan kumpulan pendesak pendidikan.

Ada yang melihat pembelajaran Jawi hanya akan menambah beban kerja murid dan guru, selain menambah tekanan dan bukannya keseronokan.

Dong Jiao Zong berkata ia tiada masalah dengan memupuk penghargaan terhadap seni khat Melayu, tetapi sebarang perkara yang melangkauinya ialah tidak sesuai.

Jika murid perlu belajar mengenal dan menyebut abjad Jawi dan kemudian belajar menulisnya, Mereka berkata ia sudah melangkaui penghargaan terhadap seni itu dan menambah beban murid.

Ada juga yang berkata memandangkan tulisan rasmi Bahasa Malaysia ialah rumi, maka pembelajaran khat Jawi tiada nilai praktikal dan penting kerana ia tidak membantu menambah baik Bahasa Malaysia, serta tidak selari dengan matlamat pengajaran.

Bekas menteri pendidikan dan presiden MCA Wee Ka Siong berkata pelajaran tulisan Jawi tidak akan membantu murid menambah baik pembelajaran Bahasa Malaysia.

Jika kerajaan ingin memupuk penghargaan terhadap keindahan seni itu, katanya, ia patut dimasukkan dalam kelas seni dan bukan bahasa.

Sementara itu, pihak yang membantah tulisan Jawi diinstitusikan bimbang ia akan bertukar kepada dasar asimilisasi. Mereka percaya kerajaan boleh menggalakkan orang ramai menghargai dan belajar tulisan Jawi secara sendiri, bukan secara dasar melalui sistem pendidikan.

Adun Tras Chow Yu Hui memulakan petisyen untuk membantah rancangan itu. Sejumlah 13 adun, 14 pemimpin akar umbi dan Pemuda DAP, dan 138 pemegang jawatan akar umbi menyokongnya.

Chow berkata dalam konteks politik Malaysia, tulisan Jawi telah dipolitikkan oleh PAS dan langkah menginstitusikannya ialah sebahagian agenda pihak konservatif di Malaysia.

Menyebut penggunaan wajib tulisan Jawi di papan tanda di Kelantan dan Terengganu sebagai contoh, dia mendakwa pengenalan seni khat Jawi tidak akan memupuk penghargaan tetapi akan merosakkan fabrik sosial di negara ini.

Bagaimanapun dua adun telah menarik balik sokongan terhadap petisyen itu.

Apa pandangan lain berkaitan isu ini?

Ada juga yang menganggap tiada masalah dalam menghargai dan mempelajari tulisan tradisional bagi bahasa kebangsaan kerana murid juga belajar kaligrafi Cina.

Hanya dengan enam muka surat, kata mereka, ia hanya untuk memperkenal aspek artistik khat. Pengarah Biro Pendidikan DAP Liew Chin Tong berkata memandangkan Malaysia dikenakan dasar pecah dan merintah, rasa saling percaya dalam masyarakat berbilang kaum tidak cukup kuat.

Baginya, sebab mengapa pengenalan pembelajaran seni khat menjadi isu adalah kerana kurangnya keyakinan terhadap identiti sendiri dan melihat "yang lain" sebagai ancaman.

Sementara itu, Profesor UCSI Mohamad Tajuddin Mohamad Rasdi berkata beliau tiada bantahan terhadap pengenalan itu, murid juga perlu tahu tentang tulisan Pallava yang lebih awal jika tujuannya untuk memupuk penghargaan bahasa di kalangan mereka.

Katanya lagi, untuk belajar dan menghargai nilai artistik sesuatu bahasa, ia tidak semestinya melalui buku teks.

Mengundang tetamu untuk membuat demonstrasi khat atau membawa murid ke muzium mungkin merupakan cara yang lebih menarik untuk mempelajarinya, katanya seperti dipetik dalam wawancara Sinchew Daily.


KINIGUIDE ini disediakan oleh Wong Ka Hui.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen