Pengiklanan

    NGO anti-Lynas, penduduk mahu bincang kemungkinan semakan kehakiman

    (Dikemaskini )

    Penduduk akan membincangkan kemungkinan memfailkan semakan kehakiman sekiranya kerajaan membuat keputusan untuk mengenepikan syarat yang sebelum ini dikenakan kepada Lynas Corp Australia berhubung pelupusan sisa radioaktif dari loji pemprosesan nadir bumi di Gebeng, Kuantan.

    Jurucakap Save Malaysia Stop Lynas (SMSL), Tan Boon Teet memberitahu Malaysiakini bahawa tindakan undang-undang itu adalah antara langkah susulan yang akan dibincangkan di mesyuarat pada 18 Ogos di Taman Gelora, Kuantan.

    "Penduduk mesti dimaklumkan dengan tepat mengenai isu (Lynas).

    "Kami mempunyai tugas untuk memaklumkan mereka dengan betul mengenai apa yang berlaku seterusnya (dengan Lynas)," kata Tan ketika dihubungi hari ini.

    "Sebarang keputusan yang dibuat, penduduk Kuantan sebagai pihak yang terkesan boleh memfailkan semakan kehakiman," kata Tan, sambil menambah bahawa SMSL pada mulanya merancang untuk mengumpulkan penduduk pada hari Ahad dengan harapan keputusan kabinet dibuat pada minggu ini.

    Tan berkat, adalah lebih membimbangkan jika kerajaan membenarkan Lynas menyimpan sisa buangan mereka di sini dengan membina kemudahan Pembuangan Sisa Tetap.

    Pada sidang akhbar bulan lepas, Tan berkata SMSL telah meminta untuk bertemu dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sebelum keputusan muktamad mengenai pelanjutan permit Lynas dibuat oleh kabinet.

    Sehingga hari ini, kata Tan tidak ada persetujuan dari Pejabat Perdana Menteri berhubung surat jemputan yang dihantar awal bulan lepas.

    Tahun lalu, Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim mengarahkan Lynas menghantar sisa pembersihan air (WLP) - yang pada ketika ini lebih dari 451,654 tan - ke Australia sebelum 2 September, tarikh sama lesen lesen penyimpanan sementara syarikat itu tamat.

    Ia adalah salah satu daripada dua pra-syarat yang ditetapkan oleh kementerian, selain menetapkan agar syarikat itu mengemukakan pelan tindakan mengenai pelupusan sisa aliran bawah tanah (NUF).

    Dr Mahathir semalam berkata Putrajaya masih menunggu Lynas membuat cadangan mengenai cara mereka mahu menangani sisa radioaktif rendah yang dihasilkan di kilang berkenaan.

    Pertikaian antara Lynas dan Putrajaya sudah berlanjutan selama hampir lapan bulan.

    Lynas dilaporkan telah menyerahkan semua dokumen yang diperlukan untuk pembaharuan lesen operasinya.

    Menurut pengarah urusan Lynas Malaysia, Mashal Ahmad, audit Lembaga Pelesenan Tenaga Atom mengenai syarikat itu beberapa bulan lalu "sangat memuaskan."

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih