malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
MP: Ada rahsia dalam urus niaga dengan Lynas?
Diterbitkan:  Aug 2, 2019 4:18 PM
Dikemaskini: 8:18 AM
ADS

Pentadbiran BN mungkin membenarkan kilang memproses nadir bumi Australia Lynas Corp untuk beroperasi di Malaysia kerana tamak dan bodoh tetapi sukar memahami mengapa kerajaan sekarang meneruskannya, kata Anggota Parlimen Bentong Wong Tack.

"Kecuali ada rahsia dengan urus niaga (deal) Lynas yang orang tidak tahu?" soalnya yang merupakan wakil rakyat DAP dalam kenyataannya hari ini.

Jika begitu, katanya, kerajaan perlu mengongsikan perinciannya agar penyelesaian dapat dicari bersama.

"Sebagai rakyat Malaysia Baru, rakyat harus tahu sebab jika kita terpaksa menerima sisa radioaktif toksik Lynas dan mendedahkan anak-anak kita dengan pelbagai risiko," katanya lagi.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad semalam bahawa kerajaan sedang menunggu cadangan Lynas dalam mengendalikan sisa pemprosesan nadir buminya.

Wong berkata tidak logik untuk Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) untuk membenarkan Lynas beroperasi dan menjana lebih sejuta tan sisa radioaktif sepanjang tujuh tahun ini tanpa rancangan pengurusan sisa.

"Di negara kita, pihak berkuasa tidak membenarkan pemilik rumah untuk pindah masuk jika rumah itu tiada tandas," katanya.

Sepanjang lapan tahun lalu, katanya, orang ramai berulang kali menyuarakan bantahan terhadap Lynas dengan fakta dan bukti.

Maka, katanya lagi, jika kerajaan memutuskan untuk memberi Lynas lesen untuk menjana lebih banyak sisa radioaktif, ia perlu menyediakan penjelasan terperinci - lengkap dengan fakta dan angka - kepada rakyat.

"Beritahu kami berapa yang negara dapat dari Lynas? Apakah jangkaan pendapatan untuk masa akan datang?

"Tunjukkan juga perincian analisis alam sekitar anda terutama pengkuantitian kesan alam sekitar jangka panjang, kos untuk membaiki tapak yang tercemar serta pengurusan sisa radioaktif Lynas selepas mereka tiada lagi.

"Adakah urus niaga dengan Lynas ini hanya kerana wang atau ada sebab lain?" soalnya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Reuters melaporkan Lynas sedang menjalankan kerja awal untuk kemudahan pelupusan sisa untuk kilang di Malaysia, yang dijadual memperbaharui lesennya pada September.

Lynas berkata pihaknya menunggu notis rasmi daripada kerajaan berkenaan syarat untuk memperbaharui lesen operasi tersebut.

Lihat Komen