malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
2 Adun DAP tarik balik bantahan isu ‘khat’
Diterbitkan:  Aug 2, 2019 3:06 PM
Dikemaskini: 8:37 AM
ADS

Dua Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP menarik balik bantahan mereka terhadap rancangan memperkenalkan pembelajaran "khat" dalam kurikulum Tahun 4 Bahasa Malaysia untuk sekolah vernakular.

Adun Keranji Chong Zhemin dan Adun Jelapang Cheah Pou Hian, sebelum ini menjadi sebahagian daripada 13 Adun, 14 pemimpin akar umbi dan pemuda DAP serta 138 cawangan dan jawatankuasa parti di peringkat parlimen, yang menentang langkah itu.

Dalam kenyataan bersama hari ini, kedua-dua mereka berkata keputusan tersebut dibuat bagi membolehkan DAP dan Kementerian Pendidikan mengkaji semula isu itu.

Sementara itu, Adun Tras Chow Yu Hui ketika dihubungi Malaysiakini berkata beliau tidak tahu mengapa dua wakil rakyat itu menarik diri dari “keputusan bersama” itu.

“Oleh kerana mereka sudah buat keputusan demikian, kami menghormati keputusan mereka. Saya juga nak ucap terima kasih pada mereka kerana pernah bersama kami sebelum ini.

"Bagaimanapun, rayuan kami dalam kenyataan bersama akan tetap tidak berubah," katanya kepada Malaysiakini.

Chow, yang memulakan kenyataan bersama itu, menafikan mendapat tekanan daripada kepimpinan pusat.

"Saya tidak ditekan, tetapi kamu perlu tanya mereka (Chong dan Cheah) jika mereka merasakannya. DAP adalah parti demokratik yang membenarkan perbezaan dalaman," katanya.

Dalam satu kenyataan bersama, kumpulan itu berkata pelajar sekolah vernakular sudah mempelajari "tiga bahasa dan tiga sistem penulisan".

"Kami bukan tak setuju bahawa 'khat' mempunyai nilai artistik, tetapi orang ramai harus digalakkan untuk menghargainya sendiri dan bukan dibuat dasar," kata kumpulan itu.

Pada 31 Julai lalu, kumpulan itu mendakwa pengenalan tulisan "khat" merupakan usaha untuk melembagakan dan mempolitikkan tulisan Jawi.

Merujuk penggunaan tulisan Jawi di papan tanda di Kelantan dan Terengganu, kumpulan itu berkata langkah-langkah serupa sedang dilakukan di Pahang dan Melaka.

Ini ditunjukkan dalam banyak cara apabila sekolah Cina dan Tamil menambah 'khat' dalam kurikulum, ia akan menambahkan lebih banyak masalah.

"Mereka yang mempunyai agenda mungkin merebut peluang untuk memperkenalkan Jawi di semua peringkat. Jika Jawi diinstitusikan, ia akan merosakkan fabrik sosial di Malaysia," kata kumpulan itu.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik hari ini dilaporkan berkata pihaknya akan mengeluarkan kenyataan berhubung cadangan tersebut.

Khamis lalu, Maszlee dalam kenyataannya menjelaskan pengenalan tulisan khat adalah untuk memupuk gaya penulisan yang indah.

Jelasnya, perkara itu tiada kaitan dengan tulisan Jawi dan pelajar tidak dinilai di dalam peperiksaan.

[Baca berita asal]

Lihat Komen