malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Tukar PM: Segera atau boleh dikemudiankan?
ADS

Penyerahan kuasa perdana menteri daripada Dr Mahathir Mohamad kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim, harus berlaku dalam penggal ini, kata penganalisis politik jika PH mahu benar-benar bersedia menghadapi pembangkang dapam PRU akan datang.

Prof Mohd Azizuddin Mohd Sani dari Universiti Utara Malaysia berkata, ia juga perlu dilakukan sekurang-kurangnya dua tahun sebelum tarikh PRU ke-15 diadakan.

Menurutnya, tempoh itu dirasakan perlu kerana Anwar - sebagai perdana menteri - memerlukan masa mempersiapkan PH bagi mendapatkan keyakinan dan mandat rakyat negara ini terus menjadi kerajaan.

"Peralihan kepemimpinan harus berlaku dalam penggal ini dan untuk lebih adil kepada Anwar, ia perlu berlaku sekurang-kurangnya dua tahun sebelum PRU ke-15.

"Tempoh itu perlu agar Anwar memperkuatkan PH dan pada masa sama meneruskan agenda Mahathir memantapkan ekonomi dan politik negara," katanya kepada Malaysiakini.

Azizudin berkata demikian sebagai mengulas isu kewajaran Mahathir perlu dikekalkan sebagai perdana menteri sehingga habis penggal kali ini. Mengikut perlembagaan mandat kerajaan PH akan berlanjutan sehingga 2023.

Bagaimanapun, menjadi kebiasaan bagi kerajaan sebelum ini mengadakan PRU sebelum mandat tersebut berakhir secara automatik.

Tidak seperti kebanyakan negara lain, kerajaan setakat ini tidak mengumumkan tarikh PRU lebih awal, sebaliknya diumumkan pada saat-saat akhir, menjadikan kerajaan semasa memiliki kelebihan mengadakan persiapan berbanding pembangkang.

Mungkin ada perjanjian

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Azmin Ali, sebelum ini berkata Mahathir perlu diberi peluang memimpin negara hingga ke penggal semasa berakhir bagi menjamin kestabilan, kesinambungan dan ketuntasan dasar-dasar kerajaan.

Timbalan Presiden PKR itu berkata demikian bagi mengalu-alukan kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang menegaskan pendirian parti itu dan sekutunya Umno kepada Mahathir.

Untuk rekod, kenyataan itu dibuat ketika pertembungan dalaman PKR di antara kumpulan Anwar dan Azmin semakin menghangat.

Gambar fail

Pada masa sama Mahathir berulang kali menegaskan beliau akan menepati janji untuk menyerahkan jawatan kepada Anwar seperti yang dipersetujui sebelum PRU ke-14 tahun lalu.

Mengulas lanjut, Azizudin berkata pertukaran kepemimpinan kerajaan seperti yang dibayangkan PAS dan Azmin adalah tidak selari dengan perjanjian asal PH.

"Menunggu sehingga habis tempoh penggal kerajaan sebenarnya menjelaskan tidak berlakunya peralihan kuasa kerana peralihan berlaku melalui pilihan raya yakni PRU ke-15.

"Ini saya rasa mungkin tidak selari dengan wisdom penjanjian peralihan kuasa.

"Saya rasa perdana menteri dan Anwar mungkin ada perjanjian antara mereka. Paling awal pun saya rasa adalah tahun depan," katanya.

Lebih faham berbanding orang lain

Ditanya kesesuaian keadaan politik semasa negara bagi menjayakan peralihan kuasa itu, ini jawab Azizudin: "Secara umum, negara kita wujud keadaan yang stabil sekiranya dibandingkan dengan negara lain. Faktor kesesuaian juga amat subjektif. Paling penting ialah kesepakatan dalam PH yang akan menentukanmasa paling sesuai untuk melakukan peralihan kuasa tersebut."

Sementara itu, Pensyarah Sosiologi Politik Universiti Sains Malaysia Prof Dr Sivamurugan Pandian berkata Mahathir boleh terus kekal sebagai perdana menteri selagi beliau berasakan ia perlu berbuat demikian.

Menurut Sivamurugan, hal itu kerana pemimpin berusia 94 tahun itu lebih arif dengan masa yang diperlukannya.

Sivamurugan

"Mahathir menyatakan mahu memulihkan beberapa keadaan (negara) supaya pengganti beliau (dapat) ambil alih kerajaan yang sudah diurus dengan baik.

"Keputusan tempoh (peralihan kuasa) boleh diputuskan oleh beliau sama ada habis penggal kerana beliau arif masa yang diperlukan," katanya kepada Malaysiakini.

Malah, kata Sivamurugan sebagai orang yang dekat dengan perdana menteri, Anwar pastinya memahami Mahathir lebih daripada orang lain.


Baca Amirudin: Saya tak hadir kerana terperangkap dalam trafik


"Barangkali perbincangan agenda negara diteruskan dan beliau bersama Mahathir membina negara secara berterusan. Transisi perlu berlaku licin dan lancar iaitu apabila kedua-duanya sudah bersedia untuk pertukaran baton kepimpinan," katanya.

Isu peralihan kuasa antara Mahathir kepada Anwar terus dipersoalkan dengan beberapa pihak tampil menyatakan sokongan agar Mahathir kekal sehingga habis penggal, sementara pihak lain mempersoalkan tempoh peralihan kuasa.

Terbaru, tiga Adun Selangor menyatakan sokongan dengan cadangan Azmin agar Mahathir kekal sehingga habis penggal.

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, pula menggesa semua parti politik supaya mendukung Mahathir sebagai perdana menteri hingga pembubaran parlimen atau akhir penggal.

Katanya, ini kerana supaya semua pihak terutama sektor swasta kembali yakin dengan kestabilan politik negara.

Lihat Komen