Pengiklanan

    Peralihan PM: Mengapa Umno jadi penyibuk?

    (Dikemaskini )

    Ahli Parlimen Padang Rengas Nazri Aziz menggesa pemimpin Umno tidak mengkhianati kepercayaan rakyat dengan percubaan untuk menubuhkan kerajaan baru sebelum pilihan raya umum seterusnya.

    Nazri berkata demikian ketika laporan media bertumpu mengenai perjumpaan 'rahsia' antara Dr Mahathir Mohamad dan pemimpin pembangkang yang dikatakan menyatakan sokongan agar perdana menteri kekal sehingga habis penggal.

    Jelas Nazri, tidak seharusnya wujud pensejajaran kuasa politik baru dalam cubaan untuk menubuhkan kerajaan lebih awal sebelum PRU ke-15.

    Bekas ahli majlis tertinggi Umno itu juga berkata gabungan parti-parti Melayu saja tidak cukup untuk membentuk kerajaan persekutuan.

    Umno dan BN kini mempunyai 40 kerusi, PAS 18 kerusi dan Bersatu 26 kerusi. Gabungan kesemua kerusi parti ini adalah 84, iaitu hanya 32 kerusi kurang untuk membentuk majoriti mudah.

    Bagaimanapun, kumpulan aktivis Otai Reformis membuat perkiraan bahawa sekiranya Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali dan 15 ahli parlimen PKR lain yang dilihat setia kepada timbalan presiden PKR itu turut terlibat dalam pakatan seumpamanya, selain sokongan dari Gabungan Parti Sarawak (GPS), gabungan parti-parti berkenaan boleh mendapatkan 118 kerusi.

    Mengulas perkara itu, Nazri berkata sekiranya kerajaan dibentuk dengan cara itu, ia ibarat mengkhianati rakyat yang mengundi PH pada PRU lalu.

    "Rakyat jelas menolak BN dan mahukan PH untuk lima tahun. Jangan mainkan rakyat, dan hormati keputusan mereka," katanya kepada Malaysiakini.

    Nazri juga mengingatkan agar pemimpin Umno tidak masuk campur dalam hal PH dan menyifatkan soal peralihan kuasa perdana menteri tidak mempunyai kaitan dengan parti mereka.

    "Itu masalah mereka, bukan kita. Kenapa kita jadi penyibuk?" katanya.

    Nazri berkata demikian sebagai sebagai mengulas perjumpaan Dr Mahathir dengan pemimpin pembangkang pada 30 Julai di Putrajaya. Dalam perjumpaan itu, ramai pemimpin pembangkang dikatakan menyatakan sokongan kepada Dr Mahathir untuk kekal sebagai perdana menteri sehingga habis penggal.

    Dr Mahathir bagaimanapun menegaskan akan menepati janji untuk menyerahkan jawatan kepada Anwar sebelum habis penggal.

    Mengulas lanjut, Nazri berkata dia tidak tahu tentang perjumpaan itu.

    Bagaimanapun, kata Nazri, bekas naib presiden Umno Hishammuddin Hussein tidak mempunyai kuasa untuk mewakili Umno dalam perjumpaan itu.

    Kata Nazri, hanya presiden, timbalan presiden dan naib presiden yang boleh mewakili parti.

    Ditanya sama ada dia masih menyokong Anwar sebagai perdana menteri, Nazri berkata sokongan itu berdasarkan perjanjian PH bahawa Anwar akan menggantikan Dr Mahathir.

    Ketika PKR dilihat sedang berpecah akibat konflik dalaman antara dua pemimpin tertingginya, Spekulasi timbuk mengatakan Dr Mahathir lebih cenderung memilih Azmin sebagai penggantinya.

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih