malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Betul atau palsu? Dakwaan bercanggah memo larang pekerja sembahyang
Diterbitkan:  Aug 1, 2019 4:54 PM
Dikemaskini: 9:26 AM
ADS

Timbul penjelasan bertentangan berkenaan dakwaan mem sebuah syarikat di Klang yang melarang kakitangan beragama Islam daripada sembahyang ketika waktu kerja.

New Straits Times memetik pengurus operasi Hond Tat Industries Sdn Bhd (Hond Tat) yang menyangkal memo itu - yang tular di media sosial - sebagai palsu.

Dia yang tidak dinamakan itu turut berkata memo tersebut mungkin tindakan sabotaj pihak tertentu.

Bagaimanapun Utusan Online kemudian memetik seorang kakitangan - juga tidak dinamakan - syarikat itu yang mengesahkan larangan tersebut.

Malaysiakini beberapa kali menghubungi Hond Tat untuk mengesahkan perkara itu tetapi tidak berjaya kerana diberitahu semua pengurus sedang berada dalam mesyuarat.

Dalam laporan New Straits Times, pengurus operasi itu berkata Hond Tat merancang untuk membuat laporan polis berkenaan isu itu.

"Ini tindakan sabotaj. Tiada tandatangan pada memo itu dan tiada kelulusan daripada pengurusan tertinggi. Sesiapa sahaja boleh ambil kepala surat dan mencetaknya.

"Tiada pekerja Muslim yang dilarang bersembahyang ketika waktu bekerja," katanya lagi seperti dipetik.

Dalam laporan Utusan Online pula, pekerja syarikat itu mendakwa pihak pengurusan telah menarik balik memo tersebut selepas menerima kecaman di internet.

"Memo berkenaan memang sah tetapi ia sudah diselesaikan, hal ini terjadi kerana wujud salah faham berikutan pengurus syarikat bukan beragama Islam tidak memahami waktu solat umat Islam.

“Wakil pekerja beragama Islam sudah berjumpa dengan pihak pengurusan syarikat dan perkara ini dianggap selesai," katanya seperti dipetik.

Menurut imej yang didakwa sebagai memo itu, ia dikeluarkan pada 30 Julai (semalam).

"Pihak pengurusan ingin memaklumkan kepada semua pekerja bahawa tidak dibenarkan pergi solat ketika waktu bekerja kecuali pada waktu makan tengah hari sahaja.

"Dengan serta-merta jika didapati melanggar arahan, akan dikenakan denda sebanyak RM500 untuk setiap kali kesalahan."

Sementara itu, Kementerian Sumber Manusia menggesa orang ramai agar menunggu berita yang tepat berkenaan memo tersebut dan tidak menyebarkan maklumat salah di media sosial.

Kementerian juga berkata laporan berkenaan larangan seumpama itu biasanya disiasat oleh Jabatan Buruh.

Kementerian itu juga dijangka mengeluarkan kenyataan selepas mengesahkan kesahihan memo tersebut.

Lihat Komen