malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Tumpu ekonomi, pastikan G-rated jika mahu buat video'
Diterbitkan:  Aug 1, 2019 4:49 PM
Dikemaskini: 8:49 AM
ADS

Tokoh wartawan, A Kadir Jasin secara sinis mengingatkan menteri menumpukan usaha untuk memakmurkan ekonomi serta menyelesaikan hutang kerajaan berbanding memikirkan tentang politik.

Kata Kadir, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berulang kali memaklumkan tidak akan berlaku rombakan kabinet dan akan berpegang pada janji untuk menyerahkan jawatan kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim.

"Tetapi ini bukan alasan bagi menteri untuk merasa yakin dan meneruskan cara mereka yang buruk.

"Oleh itu, mana-mana menteri yang merasakan dorongan yang tidak terkawal untuk beraksi dalam filem atau klip video sila pastikan bahawa ia adalah 'G-rated'," tulis Kadir dalam catatan di laman blognya hari ini.

G-rated merujuk kepada piawaian filem yang sesuai untuk ditonton semua lapisan umur.

Hari ini, Dr Mahathir sekali mengulangi janji untuk melepaskan jawatan perdana menteri sebelum tamat tempoh penggalnya.

"Kecuali mereka tolak saya ke satu sudut dan acu pistol ke kepala saya supaya saya kekal sampai habis penggal, jadi saya akan teruskan.

"(Tetapi) saya akan tunaikan janji saya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan Persidangan Meja Bulat Bersama Komuniti Dewan Perniagaan Antarabangsa di Putrajaya.

Kelmarin Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali menyokong pendirian Umno dan PAS yang mahukan Mahathir kekal menerajui negara sampai tamat penggal ini.

Dalam tulisan dia laman blognya itu, Kadir turut mengulas bagaimana video seks yang dikaitkan dengan Azmin umpama mengambil "nyawa" sendiri.

Katanya, video itu telah diabadikan dalam media sosial seperti YouTube dan telah tertumpah ke arena politik yang lebih besar.

"Video skandal kini menjadi makhluk hidup, bernafas di dunia politik konspirasi. Ia akan menghantui pemainnya," katanya.

Kadir dalam pada itu menyeru supaya memikirkan tentang isu negara yang lebih mendesak daripada membincangkan tentang video berkenaan.

"Marilah kita membimbangkan diri dengan isu-isu dan hal ehwal negara yang lebih mendesak, kesulitan peneroka Felda, nelayan, petani padi, penoreh getah dan pekebun kecil Felcra.

"Marilah kita menangani kebimbangan orang-orang perniagaan seperti pemain industri petroleum yang sedang menunggu resolusi permintaan royalti petroleum oleh Sabah dan Sarawak.

"Marilah kita memberi rangsangan kepada agenda ekonomi kemakmuran yang dikongsi bersama, kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 dan penyelesaian hutang kerajaan," tambahnya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen