malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Najib tak hadir kerana tempat duduk ditukar di saat akhir
Diterbitkan:  Jul 31, 2019 11:39 AM
Dikemaskini: 5:06 AM
ADS

Bekas perdana menteri Najib Razak hari ini menjelaskan ketidakhadirannya pada upacara pertabalan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara semalam.

Kata Najib, ketidakhadirannya bukanlah kerana kekeliruan tempat duduk seperti yang dikatakan, tetapi kerana tempat duduknya telah ditukar pada saat-saat akhir.

“Bukan kekeliruan, tetapi menerima panggilan pada pukul 6:30 pagi yang sama bahawa tempat duduk ditukar.

“Sepatutnya duduk di tempat ke-10 sebagai bekas perdana menteri mengikut protokol istiadat tetapi ditukar pada saat terakhir ke tempat duduk Orang Besar Pahang,” katanya di Facebooknya.

Tambah Najib lagi, hal itu menyebabkan beliau tidak dapat hadir ke istiadat itu kerana tidak sempat mengambil pakaian istiadat untuk Orang Besar Pahang yang menurutnya, berada di Pekan.

“Pakaian istiadat untuk Orang Besar Pahang dan pakaian bekas perdana menteri tak sama. Setiap jawatan ada protokolnya.

“Masa itu dah tak sempat nak ambil pakaian dari Pekan,” katanya lagi.

Najib merupakan Dato Shahbandar Pahang yang bererti dia juga tergolong sebagai Orang Besar Pahang.

Najib dan isterinya, Rosmah Mansor sepatutnya duduk sebaris dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, isterinya, Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, presiden PKR Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Istiadat pertabalan yang berlangsung semalam adalah bagi menabalkan secara rasmi Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Sementara, dakwaan serupa turut dinyatakan oleh pegawai Najib semalam, namun hal itu disanggah oleh pegawai Pejabat Perdana Menteri yang menyatakan PMO tidak terlibat dalam susunan tempat duduk di majlis itu.

“Semua bahagian istiadat dan protokol,” katanya seperti dipetik FMT.

Namun, bekas pegawai Najib, Isham Jalil, hari ini menegaskan memang wujud campur tangan daripada PMO berhubung susunan tempat duduk Najib.

“Saya juga mendapat maklum bahawa sekiranya tempat duduk Najib tidak diubah, Dr Mahathir mengugut tidak mahu hadir ke majlis pertabalan tersebut.

“Dr Mahathir tidak mahu Najib datang ke majlis Pertabalan Agong sebab dia iri hati bahawa Najib lebih popular daripadanya.

“Kerana (Najib) menghormati protokol yang telah diubah pada saat-saat akhir oleh sebab campur tangan PMO, beliau telah tidak dapat hadir ke majlis Pertabalan tersebut,” dakwanya seperti dipetik Utusan Malaysia.

Lihat Komen