BERITA

Gelora pemilihan menanti Amanah Kelantan

N Faizal Ghazali

30 Jul 2019, 2:32 am

Dikemaskini 2 tahun lepas

A
+
A
-

ULASAN | Bahang menjelang pemilihan Amanah Kelantan makin dirasai. Taktik mula diatur, strategi disusun, bidak pun membuka langkah.

Selaku parti 'setahun jagung' yang kemudian menjadi sebahagian daripada kerajaan persekutuan, pemilihan Amanah kali ini pastinya dilihat istimewa dan mempunyai nilai tersendiri.

Situasi semasa di Kelantan menyaksikan pertembungan dua pasukan khususnya dalam pemilihan anggota jawatankuasa (AJK) Pemuda Amanah negeri yang bakal berlangsung 3 Ogos depan.

Dua kumpulan dilihat akan bersaing, iaitu Pemuda Bangkit dan Pemuda Bekerja.

Pemuda Bangkit adalah kumpulan yang penyandang jawatankuasa pemuda Amanah negeri diketuai Hazmi Hassan, manakala Pemuda Bekerja dipelopori aktivis Amanah negeri, Hisyamuddin Ghazali.

Hisyamuddin Ghazali

Kewujudan dua kem ini bukanlah bersifat lokal di peringkat Kelantan saja, tetapi kesan daripada pecahan pengaruh di peringkat Pemuda Amanah nasional.

Biarpun di peringkat nasional pertembungan Pemuda Amanah ini mewujudkan tiga kumpulan, namun di Kelantan hanya dua kem tersebut yang mendominasi persaingan.

Atas alasan apa pun politik adalah pentas orang-orang berkemahuan, meletakkan diri dalam posisi dirasakan selesa, strategik dan berpengaruh secara dengan prinsip demokrasi.

Maka bunga-bunga silat dipersembah, dengan tari, lenggok dan tikaman saling bersahutan sama ada secara langsung atau tidak.

Tanda ribut sebelum pemilihan

Tanpa sebarang kerusi - sama ada DUN mahupun parlimen - di Kelantan, pergerakan Amanah negeri dilihat perlahan dalam banyak hal.

Bahkan peringkat cawangan, kawasan dan sayap dilihat tidak produktif dalam melaksanakan program bagi meningkatkan pengaruh dan meneruskan hubungan dua hala antara pemimpin dan rakyat.

Beberapa hari lalu, sudah bermula episod pembubaran cawangan dan peletakan jawatan ahli jawatankuasa di peringkat pimpinan akar umbi.

Apa jua asbab ia berlaku, itu adalah petanda kecil akar umbi mula 'memberontak'. Tidak mustahil isu-isu lebih besar bakal melanda dan Amanah Kelantan perlu bersedia menempuh badainya.

Kini terdapat ura-ura pimpinan-pimpinan di kawasan tertentu bakal meletak jawatan dan tidak mustahil akan angkat kaki daripada Amanah.

Ia susulan rasa tidak puas hati dalam pelbagai perkara antaranya pergeseran sesama pimpinan kawasan, penilaian terhadap pimpinan tertinggi parti dan faktor pemilihan.

Menggantikan Cikgu Rahim dan Husam

Selain itu, Amanah Kelantan juga akan berdepan cabaran untuk mencari pengerusi baru untuk menggantikan Wan Abd Rahim Wan Abdullah yang sebelum ini menyatakan hasrat untuk berundur.

Ia selepas beliau kini menggalas tanggungjawab sebagai presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa). 

Ini kerana belum ada yang dilihat bertenaga - sama ada melalui kayu ukur senioriti, pengarah ataupun ketokohan - untuk meneruskan kesinambungan kepimpinan Amanah Kelantan.

Wan Abd Rahim

Justeru medan pemilihan kali ini perlu menjadi tanda mula, bagaimana sinergi kepimpinan itu boleh membiakkan baka-baka kental, menonjol dan mampu terkedepan dalam politik arus perdana.

Mereka perlu melahirkan lebih ramai Wan Abd Rahim dan Husam Musa dengan menggilap muka-muka baru untuk keluar daripada kepompong 'suam-suam kuku' dan bukan sekadar menjadi selebriti Facebook sesama sendiri.

Sebagai parti yang bersaing di sebuah negeri yang berliku sejarah politiknya, yang totok pegangan politik masyarakatnya - mahu tidak mahu Amanah Kelantan perlu lebih dalam semua hal.

Sehubungan itu, apa juga ujian menjelang pemilihan kali ini, setiap ahli dan pimpinan parti itu harus rasional dengan situasi semasa parti.

Amanah Kelantan perlu dilihat harmoni khususnya di mata musuh politik yang senantiasa menanti bola tanggung dan perang persepsi.


N FAIZAL GHAZALI adalah wartawan Malaysiakini.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.