malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Pemimpin Umno nafi agih kerusi 50-50 dengan PAS
Diterbitkan:  Jul 30, 2019 10:13 AM
Dikemaskini: 7:48 AM
ADS

Pemimpin kanan Umno tampil menafikan laporan kesediaan parti itu untuk menyerahkan kerusi tradisi parti itu kepada PAS pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 melalui formula agihan kerusi 50-50.

Ketua Penerangan Umno, Shamsul Anuar Nasarah meminta pimpinan dan ahli Umno tidak terperangkap dengan apa yang disifatkannya sebagai “permainan politik pihak tertentu”.

“Pimpinan dan ahli Umno di semua peringkat diminta tidak terpengaruh atau terperangkap dengan permainan politik pihak tertentu.

“Semua ini adalah usaha untuk memecah-belahkan muafakat Umno-PAS yang sedang terjalin baik dan piagamnya akan ditandatangani pada 14 September 2019 ini,” katanya dalam satu kenyataan pagi ini.

Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin dalam satu kenyataan pula berkata tidak wujud perbincangan atau penetapan kerusi dalam piagam yang akan ditandatangani September nanti itu, sebaliknya hanya akan fokus pada memperkemaskan tata kelola kerjasama yang akan dijalin.

“Kedua-dua parti berasakan bahawa adalah pramatang untuk perkara seperti pembahagian kerusi dibincangkan sekarang," katanya lagi.

'Laporan spekulatif, bukan melaga-lagakan'

Sementara itu, Pegawai Khas Diplomatik kepada Presiden Umno, Jailani Harun pula menyifatkan laporan Malaysiakini itu sebagai ramalan politik bersifat spekulatif yang tidak sedikit pun bertujuan melaga-lagakan kedua-dua parti tersebut.

Biarpun menyifatkan laporan sumber pertama dilaporkan Malaysiakini (tentang pindaan perlembagaan Umno) pada Mei lalu sebagai tidak adil, tetapi laporan berikutnya disifatkannya sebagai spekulatif yang menurutnya asam garam dunia kewartawanan dan turut dilakukan media lain termasuk akhbar arus perdana.

“Adakalanya laporan Malaysiakini dan media lain adalah bersama Umno dan ada ketikanya menjentik Umno. Jika kita tak perlukan mereka pada masa ini, mungkin kita memerlukan mereka pada masa depan.

“Inilah politik. Tak perlu melenting. Berhubung rapat (engagement) lebih penting daripada sumpah seranah dari jauh. Jangan bina jurang dengan mereka. Wallahua’lam,” katanya lagi. 

Laporan Malaysiakini semalam memetik sumber menyebut keputusan pengagihan kerusi itu diambil untuk mengelakkan pertembungan sesama sendiri dan terkandung dalam piagam kerjasama antara kedua-dua parti.

Pada PRU ke-14 lalu BN bertanding di 222 kerusi parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menurut sumber, pemimpin kanan Umno menyatakan kesediaan parti itu untuk mengagihkan kerusi sama banyak untuk ditandingi dalam PRU ke-15 nanti di mana kerusi yang sebelum ini menjadi pertembungan antara Umno dan PAS dalam PRU lalu.

Bagaimanapun kata sumber itu lagi, ia tidak membabitkan kerusi di Sabah dan Sarawak.

Lihat Komen