malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Undang-undang tubuh Perak tak iktiraf tanah adat, kata MB
ADS

Perak tidak mempunyai tanah adat untuk mana-mana kaum termasuk Orang Asli, kata Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu.

Beliau berkata, mengikut Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri tiada tanah yang diiktiraf sebagai tanah adat untuk Orang Asli atau kaum lain.

"Kalau ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyatakan perlu berjuang untuk tanah adat orang asli bagaimana pula kalau tiba-tiba ada melayu Mandailing meminta untuk kerajaan menyediakan tanah adat untuk kaum mereka pula dan orang Jawa cakap benda yang sama.

"Ini amat membimbangkan tetapi buat masa ini kerajaan negeri kekal dengan pandangan mengikut Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri apabila tiada tanah yang diiktiraf sebagai tanah adat sama ada untuk Orang Asli, orang Melayu, Cina, India, atau mana-mana kaum," katanya kepada pemberita ketika sidang media selepas menghadiri Majlis Jasamu Dikenang Sesi 2 Tahun 2019 di Ipoh hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Faizal berkata tiada konflik antara kerajaan Perak dengan masyarakat Orang Asli di negeri itu namun hanya timbul permasalahan di Hulu Perak apabila terdapat Orang Asli menghalang aktiviti pembalakan yang mempunyai kelulusan di Hutan Simpan Air Chepam, Gerik baru-baru ini.

"Ada masalah di sesetengah kawasan antaranya penyediaan tapak perkuburan dan isu lain-lain yang berbeza tetapi hubungan kerajaan dengan rakyat tetap dalam keadaan yang terbaik.

"Maka saya mengharapkan jika ada pun golongan yang ingin menjuarai sesetengah isu jangan libatkan keseluruhan kaum itu dengan kerajaan kerana ini amat bahaya. Konflik di antara kaum ini tidak bagus, kita tidak sepatutnya provoke any conflict antara kaum," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal berkata kerajaan negeri sedang berusaha untuk mendapatan pertukaran pegawai antara Bandaraya Fukuoka, Jepun dan Bandaraya Ipoh bagi mempelajari program untuk warga emas di negeri itu.

Katanya, 14.9 peratus daripada 2.5 juta penduduk di Perak merupakan warga emas sekali gus menjadikannya sebagai negeri tertinggi yang mempunyai warga emas dalam negara.

Sehubungan itu, kerajaan negeri cuba mengadaptasi program 'Fukuoka 100' apabila warga emas terus memberi sumbangan kepada masyarakat.

"Mereka boleh bersenam, bercucuk tanam, menjaga taman-taman, bekerja di taska untuk membaca bersama kanak-kanak atau bekerja selama beberapa jam dalam seminggu bersama kawan-kawan dan sebagainya. Ini akan membolehkan warga itu hidup dengan lebih aktif yang baik untuk mereka," katanya.

Pada majlis itu, Ahmad Faizal turut menyampaikan sijil penghargaan dan sumbangan kepada 250 orang pegawai dan kakitangan dari jabatan serta agensi negeri yang bersara antara bulan Julai hingga Disember 2018.

-Bernama

Lihat Komen