Pengiklanan

    Polis harap ‘happy ending’ buat Indira Gandhi

    (Dikemaskini )

    Polis bertekad untuk menyatukan semula M Indira Gandhi dengan anaknya, Prasana Diksa yang hilang dan sedang melipatgandakan usaha untuk menyelesaikan kes itu, kata Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador.

    Beliau turut mengulangi kenyataan bahawa dirinya mengambil kepentingan peribadi dalam kes itu dan berharap ia akan "berkesudahan dengan baik dan gembira".

    "Saya boleh beri jaminan kepada rakyat Malaysia bahawa saya mengambil kepentingan peribadi dalam perkara ini. Saya mahu happy ending (kesudahan yang baik) untuk episod ini.

    "Kes ini amat sedih dan menyentuh hati rakyat Malaysia. Kita bercakap tentang seorang ibu (yang terpisah) dengan anaknya.

    "Saya telah arahkan polis untuk melipatgandakan usaha mereka. Polis sedang mencari, tetapi saya tidak boleh mendedahkannya," kata Hamid kepada media di Kuala Lumpur hari ini.

    Bekas suami Indira, Muhammad Riduan Abdullah melarikan Prasana yang ketika itu berusia 11 bulan dan secara sepihak menukar agama tiga anak mereka kepada Islam pada tahun 2009.

    Perbalahan berpanjangan antara Riduan dan Indira berterusan dan mengheret kedua-dua mahkamah syariah dan sivil.

    Dua lagi anak Indira kini tinggal bersamanya, tetapi keberadaan Prasana dan bapanya sehingga hari ini tidak diketahui.

    Hamid menegaskan bahawa tidak ada tempoh masa ditetapkan untuk mencari Riduan, tetapi "semakin cepat lebih baik."

    Baru-baru ini, Pasukan Tindakan Indira Gandhi (Ingat) mendakwa bahawa penyokong Zakir Naik adalah antara tiga kumpulan yang membantu Riduan.

    Bagaimanapun, Hamid berkata pihak polis tidak mempunyai sebarang petunjuk mengenai tuduhan tersebut.

    "Saya tidak fikir ada apa-apa petunjuk yang praktikal," katanya.

    [Baca berita penuh]

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih