malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pencemaran diesel: Cuai, bukan sabotaj, kata polis
ADS

Polis telah menolak unsur sabotaj dalam tumpahan diesel yang mencemarkan air mentah di Sungai Selangor, baru-baru ini.

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata siasatan yang berterusan mendapati bahawa kejadian itu mungkin disebabkan oleh kecuaian oleh pekerja pihak syarikat yang diupah oleh kerajaan negeri untuk membersihkan sungai.

“Setakat ini kita telah menahan dua individu yang juga pekerja pontun bagi membantu siasatan.

"Seorang daripada mereka telah dibebaskan manakala seorang lagi akan disambung reman bagi membantu siasatan pencemaran Sungai Selangor.

"Pada mulanya, kita fikir ia adalah tindakan sabotaj... selepas itu, setelah menahan individu, siasatan mendapati bahawa ia bukan sabotaj, tetapi kecuaian," katanya kepada wartawan selepas merasmikan Jerayawara Austisme: Garis Panduan PDRM di Maktab PDRM, di Kuala Lumpur hari ini.

Hamid turut memaklumkan, laporan mengenai kejadian ini akan siap sepenuhnya dalam masa terdekat.

“Kita juga jalankan siasatan mengenai laporan palsu yang dibuat untuk melindungi syarikat tertentu.

“Saya amat mengambil berat mengenai kejadian tumpahan minyak di Sungai Selangor ini kerana ia menjejaskan jutaan pengguna di kawasan Lembah Klang,” katanya.

Pada 21 Julai lalu, pencemaran diesel di Sungai Selangor mengakibatkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2 dan Fasa 3 serta LRA Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas yang mana menyebabkan gangguan bekalan air terhadap 1,191,942 akaun pelanggan di wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) kemudian membuat laporan polis mengenai kejadian pencemaran terhadap sumber air mentah di Sungai Selangor itu.

Empat loji rawatan air kemudian terpaksa ditutup.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen