malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Usul bercanggah difailkan berhubung pemindahan kes rasuah Zahid
ADS

Pendakwa raya dan peguam pembelaan memfailkan usul yang bercanggah mengenai pemindahan dakwaan rasuah Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Zahid hadir di Mahkamah Sesyen Shah Alam pagi ini untuk sebutan 33 pertuduhan berkaitan penerimaan rasuah sebanyak RM42.7 juta daripada Ultra Kirana Sdn Bhd.

Pada permulaan prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Gan Peng Kun, berkata permohonan itu difailkan Jumaat lalu berhubung 33 tuduhan yang akan dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, di mana Zahid sedang berdepan tujuh tuduhan menerima rasuah berjumlah S$4.24 juta (RM12 .74 juta), juga dikaitkan dengan Ultra Kirana.

"Suatu salinan notis (mengenai usul untuk pemindahan) telah diserahkan (kepada pihak pembelaan) pagi ini," kata Gan.

Walau bagaimanapun, peguam Zahid, Ahmad Zaidi Zainal, menimbulkan bantahan, kerana pihak pembelaan telah memfailkan notis serupa pada 15 Julai untuk memindahkan tujuh dakwaan dari Kuala Lumpur ke Shah Alam.

"Notis usul yang difailkan oleh pihak kami akan didengar di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Rabu ini, justeru kami memohon satu tarikh lain sementara menunggu pendengaran notis usul kami di sana, selain untuk memberi kami masa bagi memfailkan afidavit jawapan terhadap notis usul yang difailkan oleh pihak pendakwaan," kata peguam itu.

Hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam Rozilah Salleh kemudiannya menetapkan 14 Ogos untuk mendengar notis pendakwaan, dengan mengambil kira keputusan perbicaraan permohonan pemindahan pembelaan yang akan datang itu.

Pada 26 Jun, Zahid memohon untuk dibicarakan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur berhubung tujuh pertuduhan mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Sekiranya didapati bersalah di bawah Seksyen 24 (1) Akta SPRM 2009, dia boleh dipenjarakan sehingga 20 tahun, dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan, atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Keesokan harinya, Zahid tampil di hadapan Rozilah dengan menghadapi 33 lagi pertuduhan yang didakwa dilakukan semasa memegang jawatan sebagai timbalan perdana menteri dan menteri dalam negeri antara Oktober 2014 dan Julai 2017.

Secara keseluruhan, anggota parlimen Bagan Datuk itu sedang menghadapi sejumlah 87 pertuduhan termasuk pecah amanah yang melibatkan Yayasan Akal Budi yang dikendalikan oleh keluarganya, pengubahan wang haram, serta menerima rasuah untuk pelbagai projek semasa khidmatnya di Kementerian Dalam Negeri .

Perbicaraan pecah amanah dan rasuah akan bermula pada 18 Nov di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

[Baca berita penuh]

Pada 27 Jun lalu, Ahmad Zahid, 66, mengaku tidak bersalah atas 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM42.76 juta daripada sebuah syarikat berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN).

Bagi 26 pertuduhan di bawah Akta SPRM, presiden Umno itu didakwa menerima suapan daripada Syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd berjumlah SGD9,320,000 (anggaran RM1=SGD3.06) sebagai dorongan untuk dirinya sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Menteri Dalam Negeri di Kementerian Dalam Negeri Malaysia (KDN), telah melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di negara China dan Sistem VLN serta didakwa mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.

Beliau dituduh melakukan kesemua kesalahan itu di Country Heights, Kajang antara Oktober 2014 dan Julai 2017.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi tujuh pertuduhan lagi, Ahmad Zahid didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Menteri Dalam Negeri di KDN telah mendapat untuk dirinya suatu benda berharga iaitu wang tunai SGD1,150,000, RM3,000,000, EURO15,000 dan USD15,000 tanpa balasan daripada syarikat sama yang mempunyai hubungan dengan kerja rasmi beliau.

Ahmad Zahid didakwa melakukan kesalahan itu di tempat sama antara Jun 2015 dan Oktober 2017, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun, atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Ahmad Zahid mengaku tidak bersalah terhadap tujuh pertuduhan menerima suapan dari Syarikat Ultra Kirana berjumlah SGD4.24 juta, sebagai dorongan untuk dirinya sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Menteri Dalam Negeri di KDN, melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan OSC di Negara China dan Sistem VLN pada 2017.

Pada 19 Okt dan 14 Dis 2018 serta 20 Feb lepas, Ahmad Zahid mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur terhadap 47 pertuduhan dengan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Kesnya kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi dan mahkamah itu menetapkan 18 Nov hingga 22 Nov, 2 Dis hingga 6 Dis dan 9 Dis hingga 13 Dis untuk perbicaraan.

Lihat Komen