malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
MB: 2 pontun di Sg Selangor dibawa keluar
Diterbitkan:  Jul 28, 2019 4:34 PM
Dikemaskini: 8:34 AM
ADS

Dua pontun pengorekan dan penyedutan pasir, yang tidak lagi beroperasi, telah dibawa keluar semalam dari Sungai Selangor.

Menteri Besar, Amirudin Shari berkata perkara itu telah dimaklumkan Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) selepas mendapat kebenaran daripada polis.

"Kita telah dimaklumkan oleh Kumpulan Semesta bahawa dua pontun yang tidak lagi beroperasi di kawasan sungai itu telah dibawa keluar selepas siasatan terhadap punca pencemaran sungai di kawasan itu selesai (oleh polis).

"Memang hanya ada dua pontun sahaja (di situ) dan kita akan tetapkan SOP (Prosedur Operasi Standard) selepas ini jika ada pontun tidak beroperasi kita mahu ia dikeluarkan dari kawasan sungai," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan 1,200 ekor lembu kepada masjid dan surau sekitar Selangor sempena sambutan Hari Raya Aidiladha di Shah Alam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Ir Izham Hashim.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, pontun terbabit juga bukan punca sebenar yang menyebabkan Sungai Selangor tercemar.

"Ini kejadian pertama (minyak keluar dari pontun) nak salahkan semua sistem pada pontun pun tidak boleh sebab punca (pencemaran) boleh jadi bermacam.

"Kita tidak boleh letak kesalahan pada pontun ini sebab minyak (dalam pontun) dikeluarkan (dari pontun) bukan minyak itu mengalir keluar sendiri, bagi mata kasar saya ia jelas kelihatan dibuat atau tertarik dan ia bukan semulajadi," katanya.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri Selangor tidak menolak kemungkinan pencemaran minyak di Sungai Selangor sehingga menyebabkan penutupan empat loji rawatan air (LRA) Sabtu lepas, akibat perbuatan sabotaj.

Ia kerana insiden itu berlaku di lokasi kerja pengorekan pasir oleh kontraktor berlesen yang tidak lagi beroperasi sejak dua bulan lepas.

Kerajaan Negeri turut mendapati saluran tangki pontun yang mengandungi minyak di lokasi itu telah terbuka menyebabkan bahan berkenaan mengalir ke dalam sungai dan menyebabkan bau kepada air mentah.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, pihaknya telah mengambil tindakan segera bagi menangani isu pencemaran sungai di Sungai Selangor.

"Saya rasa tindakan Kerajaan Negeri pantas kalau yang kata kita lewat ia tidak tepat, sebab kalau tindakan kita lewat, kemungkinan bahan tercemar itu telah masuk ke kolam takungan (air)," katanya.

Terdahulu, Amirudin menyerahkan lembu itu untuk tujuan aktiviti korban yang mana kesemua lembu berkenaan disumbangkan oleh sembilan syarikat berkaitan Kerajaan Negeri (GLC), termasuk Pemerbadanan Menteri Besar (MBI), Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Kumpulan Perangsang Selangor.

- Bernama

Lihat Komen