Hampir 900,000 petani yang menganggotai 279 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di seluruh negara, tidak akan menerima dividen tahunan sekiranya kontrak pemprosesan subsidi baja padi yang selama ini diurus Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) ditender secara terbuka.
Pengerusinya, Phahrolrazi Ahmad Zawawi berkata, ini disebabkan pihaknya tidak mampu bersaing dengan syarikat-syarikat besar, yang mungkin menawarkan harga tender yang lebih rendah.
“Jika berlaku ia amat membimbangkan terutama ekonomi setiap PPK akan lumpuh, disebabkan teras utama pendapatannya bergantung sepenuhnya kepada aktiviti memproses baja, selain Insetif Pengeluaran Padi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung PPK Repek Telong di Bachok, hari ini.
Phahrolrazi berkata kerja-kerja memproses baja campuran di sebuah kilang milik Nafas di Gurun, Kedah yang mampu menjana pendapatan RM800 juta setahun juga terpaksa diberhentikan operasinya, sekiranya perkara tersebut berlaku, sekali gus boleh menyebabkan ribuan pekerja hilang punca pendapatan.
Beliau berkata kilang berkenaan dibina dalam pada 1970an dengan kos sebanyak RM150 juta, dengan RM50 juta daripadanya merupakan geran kerajaan Pusat dan selebihnya hasil pelaburan Pertubuhan Peladang Negeri (PPN), PPK dan individu.
Katanya keputusan kerajaan mengadakan tender terbuka pada Jun tahun lepas sebaik Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan selepas menang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dilaksanakan di bawah dasar sesuatu tender tidak boleh dimonopoli oleh satu-satu pihak.
Phahrolrazi berkata bagaimanapun pengeluaran tender itu dibatalkan pada Febuari lepas selepas pihaknya membuat rayuan kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub.
“Bagaimanapun dalam sehari dua ini isu tender terbuka itu kembali diperkatakan dan didakwa akan mula dikuatkuasakan pada hujung bulan hadapan.
“Nafas akur dengan arahan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani supaya setiap PPK mempelbagaikan perniagaan dan tidak bergantung kepada sumber berkenaan sahaja, tetapi arahan itu bukan mudah untuk dilaksanakan kerana ia sekurang-kurangnya mengambil masa lima tahun ke hadapan,” katanya.
Beliau berkata berdasarkan perkembangan itu Nafas sekali lagi merayu pihak-pihak terbabit supaya menimbang semula pelaksanaan sistem itu, supaya tidak menyusahkan banyak pihak terutama golongan petani yang masih memerlukan pembelaan.
- Bernama