malaysiakini logo
story-image
ADS

Pemimpin-pemimpin tertinggi MIC berusaha meyakinkan anggotanya bahawa parti mereka tidak akan dipinggirkan dalam perkembangan Umno yang akan memeterai kerjasama rasmi dengan PAS.

Dalam konvensyen tahunan MIC yang berlangsung hari ini di Kuala Lumpur, pemimpin MIC menggesa anggota parti meraikan kerjasama antara dua parti Melayu itu sebagai cara untuk mengembalikan penguasaan BN.

Tambah mereka, imej “radikal” yang disuguhkan kepada PAS oleh pengkritik-pengkritik parti itu adalah satu dakwaan yang tidak benar.

Malah, presidennya, S Vigneswaran mengimbas kembali ketika dia mengetuai rombongan pemimpin parti yang lain untuk bertemu dengan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang - tidak lama selepas dia menjadi presiden pada Julai tahun lalu - dia diyakinkan bahawa PAS tidak bersikap menentang agama lain selain Islam.

“Tok Guru tanya, 'Tan Sri nak cakap apa?' Masa itu saya kata saya susah nak cakap sebab kita (masyarakat India) ada masalah satu saja (kalau mahu bekerjasama), (iaitu) masalah agama.

“Tok Guru bagitahu, 'kalau macam itu kita tak ada masalah',” kata Vigneswaran.

“Saya kata (kepada Abdul Hadi), wujud satu persepsi (di kalangan) rakyat kaum keturunan India bahawa PAS adalah sebuah parti yang keterlaluan, radikal, dan tidak akan menerima sebarang lain agama.

“Tetapi apa maklum balas kami terima dari Tok Guru lain,” jelas Vigneswaran yang mendedahkan dia dihubungi oleh Presiden Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) N Balasubramaniam bagi membincangkan soal kerjasama politik.

“Jadi pada ketika itu, sebagai ketua, saya buat keputusan, adakah wajar kita (MIC) menolak kerjasama dengan PAS?” ucapnya sebelum menjelaskan dia tidak dapat mencari alasan untuk menolak kerjasama tersebut.

Saling menghormati

Berikutan kekalahan BN dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14 lalu, Umno mempererat hubungannya dengan PAS atas nama “perpaduan Melayu dan Islam”, dan slogan itu diketengahkan di beberapa pilihan raya kecil (PRK) yang membuahkan kejayaan buat mereka.

Ia juga membawa kepada persetujuan untuk memeterai piagam rasmi antara Umno dan PAS yang akan berlangsung dalam sebuah acara khas di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur pada 14 September nanti.

Sebelum PRU ke-14, BN mempunyai 13 parti komponen, namun jumlah itu berkurangan menjadi tiga - Umno, MCA, dan MIC - selepas kekalahannya.

Vigneswaran yang juga merupakan presiden Dewan Negara turut menjelaskan bahawa MIC mempunyai sejarah yang panjang dalam memahami dan menjalinkan kerjasama dengan orang Melayu dari Umno.

Kini, katanya, sudah tiba masanya untuk MIC mengambil sikap serupa terhadap PAS.

“Saya kena buat keputusan sebagai seorang ketua. Jika bangsa saya mahu hidup secara aman di negara ini, kita kena bekerja dengan PAS.

“Bukan untuk kebaikan saya, tetapi untuk kebaikan bangsa di tahun-tahun akan datang,” tegasnya disambut sorakan daripada perwakilan yang hadir, terdiri daripada sayap Pemuda, Wanita, Putera dan Puteri parti itu.

Ketua Pemuda MIC R Thinalan.

Sementara itu, Ketua Pemuda MIC R Thinalan dalam ucapannya, menggesa anggota untuk mengetepikan perbezaan dengan PAS untuk menjayakan kerjasama yang baru terjalin itu.

Katanya, ada pihak yang menyebarkan khabar angin bahawa setelah menjalin kerjasama erat dengan PAS, Umno kini menjadi “semakin ultra” dan meminggirkan parti komponen BN yang lain.

“Bagaimanapun, saya percaya, seperti juga MIC dan MCA, kawan-kawan kita dari Umno juga akan tetap bersama BN. Marilah kita bersama-sama bergerak ke hadapan untuk melawan harapan palsu dan menuntut (PH) untuk mengotakan janji-janji pilihan raya mereka,” kata Thinalan.

“Saya mahu pesan kepada semua perwakilan di sini, kami Pemuda MIC menyokong sebarang kerjasama untuk menguatkan blok pembangkang.

“Saya nak jemput, Pemuda PAS kalau nak bekerjasama, bukan semata-mata dengan Pemuda Umno, kalau nak bekerja dengan akar umbi Pemuda MIC pun kita alu-alukan, asalkan kita saling menghormati hak dan perbezaan kita masing-masing,” katanya lagi.

Turut hadir dalam konvensyen itu ialah Ketua Pemuda Umno, Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Pemuda MCA Nicole Wong, Ketua Pemuda PAS Khairil Nizam Khirudin bersama anggota exco mereka.

Lihat Komen