malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
K'jaan negeri digesa iktiraf hak tanah adat Orang Asli
Diterbitkan:  Jul 27, 2019 4:47 PM
Dikemaskini: 8:47 AM
ADS

Kerajaan negeri mesti mengiktiraf hak tanah adat Orang Asli jika benar ikhlas mahu menjaga kepentingan masyarakat itu, kata Rangkaian Pembangunan Kesinambungan Malaysia (Susden).

Pengerusi Susden, Muhammad Sha'ani Abdullah berkata bahawa semakin hari masyarakat Orang Asli berdepan dengan pelbagai tindakan dan layanan yang tidak wajar dari pihak-pihak yang mendapat kebenaran untuk memasuki dan mengambil sumber-sumber asli di kawasan mereka.

"Kenyataan bahawa mana-mana negeri tiada kawasan Orang Asli adalah kenyataan jahil yang tidak menghormati kebenaran sejarah dan hak masyarakat Orang Asli seperti ternyata dalam Akta 134," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Jelas Sha'ani, kegagalan agensi-agensi berkaitan dan kerajaan-kerajaan negeri untuk memenuhi peruntukan Akta 134, bukan tanggungjawab masyarakat Orang Asli.

Sebaliknya, kata Sha'ani, ia adalah kegagalan seluruh masyarakat Malaysia melindungi satu masyarakat minoriti kecil yang turut berhak sebagai warganegara Malaysia.

"Prinsip hak tanah adat ini turut diiktiraf dalam alasan penghakiman keputusan kes-kes mahkamah yang dibawa sendiri oleh masyarakat Orang Asli.

"Sebagai masyarakat yang bertamadun kita tidak harus membiarkan penindasan tanpa soal oleh kerajaan-kerajaan negeri sambil kerajaan persekutuan sekadar memberi kenyataan media tika berlaku penguatkusaan tidak wajar ke atas tindakan aman masyarakt Orang Asli untuk melindungi hak sah mereka," katanya.

Masyarakat Orang Asli di Perak dan Kelantan berdepan penahanan pihak berkuasa dalam beberapa insiden pertikaian dengan pembalak yang cuba merobohkan sekatan (blockade) yang dibina.

Sha'ani berkata sejak Laporan Inkuiri Nasional mengenai Hak Tanah OrangAsli/Asal di Malaysia dibentangkan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), masih tiada perubahan ke atas layanan kepada masyarakat Orang Asli.

"Pengiktirafan hak tanah adat Orang Asal adalah penting dalam melindungi dan mempertahankan hak tanah adat mereka.

"Pengiktirafan ke atas tanah adat Orang aasl haruslah dibuat selari dengan pandangan dan kemahuan Orang Asli, kepuutusan-keputusan mahkamah dan undang-undang antarabangsa," katanya.

Lihat Komen