malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kit Siang kutuk hantaran FB hina Nabi Muhammad
Diterbitkan:  Jul 27, 2019 3:49 PM
Dikemaskini: 8:00 AM
ADS

Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang mengutuk hantaran Facebook menggunakan akaun "Wendy Loong" yang menghina Nabi Muhammad SAW.

"Saya sokong tindakan paling tegas diambil terhadap individu atau pihak yang bertanggungjawab untuk sebarang hantaran Facebook atau media sosial yang menghina Nabi Muhammad SAW atau sebarang agama di negara ini.

"(Ini) supaya menghantar mesej jelas bahawa keharmonian kaum dan agama merupakan keutamaan kerajaan PH," katanya dalam suatu kenyataan hari ini.

MP Iskandar Puteri juga berkata sekiranya ini merupakan kerja ejen provokasi politik, maka invidividu terbabit perlu di bawa ke muka pengadilan.

“Lebih teruk dan menyedihkan jika hantaran Facebook menghina Nabi Muhammad atau mana-mana agama itu adalah kerja daripada ejen provokasi yang bertujuan untuk mencipta isu-isu politik.

“Individu yang bersalah itu mesti lah dihukum kerana memecahbelahkan keharmonian kaum dan agama di negara ini,” katanya lagi.

Lim merujuk kepada beratus-ratus laporan polis yang dibuat terhadap hantaran Facebook oleh "Wendy Loong," manakala pihak polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kini sedang cuba mengesan pemilik akaun itu.

Dilaporkan polis menerima 483 laporan polis setakat hari ini berhubung kenyataan berbentuk penghinaan terhadap Nabi Muhammad oleh pemilik akaun Wendy Loong di laman sosial Facebook.

Islam tak unggul dengan “klepto-teokrasi”

Dalam satu kenyataan berasingan, Lim juga menyatakan sokongannya terhadap Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang membentangkan idea di Ankara, Turki semalam.

Menurut perdana menteri, terdapat keperluan untuk negara-negara Islam seperti Malaysia, Turki dan Pakistan untuk menggembleng sumber dan aset bagi memulihkan tamadun Islam yang unggul dan hebat.

Lim berkata mustahil tamadun Islam kembali gemilang sekiranya sistem pemerintahan berasaskan “klepto-teokrasi”, yang menyalahgunakan Islam untuk menyebarkan penipuan, kesangsian, kebencian serta menyokong perompakan dan rasuah.

“Ini mencetuskan serangan mengejut daripada penyokong klepto-teokrasi, yang menabur lebih banyak pembohongan dan kepalsuan dengan menuduh saya mengatakan orang Islam sebagai pencuri dan korup.

“Hanya orang yang dungu saja akan percaya dengan (tuduhan) sampah sedemikian rupa. Terdapat orang Islam yang mencuri dan korup sama seperti orang bukan Islam yang mencuri dan korup,” katanya.

Jelasnya, seseorang itu menjadi pencuri dan korup bukan kerana agamanya, tetapi disebabkan dia telah mengabaikan asas Islam atau agama lain yang mengajar penganutnya untuk melakukan kebaikan, berakhlak mulia.

Lihat Komen