malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Akaun AmBank Najib: 10 perkara dari keterangan Joanna Yu
ADS

KES NAJIB | Bekas pengurus perhubungan AmBank Joanna Yu menjadi saksi paling menonjol dalam perbicaraan Najib berkaitan SRC International setakat ini.

Yu, 48, telah menunjukkan bagaimana bank berurus niaga dengan pelanggan-pelanggan besar dan bagaimana Jho Low memainkan peranan penting dalam menguruskan akaun bank bekas perdana menteri.

Berikut sepuluh perkara penting daripada keterangannya:

Low bantu Najib buka akaun AmBank

Pada Januari 2011, Low menghubungi Yu berkenaan soal membuka akaun bank.

Susulan itu, pengarah urusan AmBank Cheah Tek Kuang ditugaskan bertemu Najib untuk melengkapkan dokuman untuk satu akaun simpanan, satu akaun semasa dan dua kad kredit.

Dalam keterangannya, Cheah berkata dia dibawa ke banglo Najib di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur, dan kemudian Jho Low membawanya masuk untuk bertemu Najib.

Selepas itu, Yu menyelesaikan proses pembukaan akaun dan bukan saja memaklumkan pelanggannya, tetapi juga Jho Low.

"Selepas akaun dibuka, saya memberitahu Cheah dan Jho Low yang akaun telah dibuka dan buku cek sudah siap untuk diambil," kata Yu.

Low minta Yu jangan dedah identiti Najib

Selepas akaun dibuka, Low meminta Yu menggantikan nama Najib pada akaun itu dengan kod nama "AmPrivate Banking-MR".

Katanya, sebab penggunaan kod itu berdasarkan pertanyaan Jho Low, yang meminta identifikasi akaun itu berdasarkan nombor akaun sahaja - bukan nama pemegang akaun - untuk menjamin kerahsiaan.

Nik Faisal ada mandat urus akaun Najib

Pada 2011 dan 2013, Najib mengeluarkan surat mandat untuk memberi kuasa kepada CEO dan pengarah urusan SRC International Nik Faisal Ariff Kamil untuk menguruskan akaunnya.

Pada 10 Mac 2011, Najib mengeluarkan surat mandat agar Nik Faisal boleh mendapatkan maklumat akaun itu, mengesahkan cek dengan jumlah sehingga RM250,000 tanpa merujuk pemegang akaun.

Pada 20 Jun 2013, Najib mengeluarkan satu lagi surat mandat untuk memberi kuasa sama kepada Nik Faisal bagi tiga lagi akaunnya dengan AmBank.

"Najib mengeluarkan lagi surat mandat bertarikh 26 Ogos 2013, memberi kuasa kepada Nik Faisal antaranya untuk memberikan arahan bertulis bagi pihak Najib untuk pemindahan wang antara tiga akaun Najib," katanya.

Nik Faisal kata deposit berjumlah besar ialah hadiah

Antara 2011 dan 2015, ada pemindahan masuk dana dengan jumlah besar dari luar negara ke akaun semasa Najib.

Bagaimanapun, pemegang mandat Nik Faisal memberitahu Yu bahawa dana itu ialah "hadiah".

"Saya akan tanya Nik Faisal berkenaan tujuan penerimaan dana itu, dan diberitahu dana itu ialah 'hadiah'."

Jho Low dirujuk jika Nik Faisal tak dapat dihubungi

Dalam keterangannya, Yu berkata Nik Faisal ada kala sukar dihubungi dan jika ia berlaku, dia akan menghubungi Jho Low. Yu menganggap Jho Low dapat menghubungi Nik Faisal.

Faisal pastikan akaun semasa ada baki mencukupi

Ini kerana akaun semasa Najib sering membuat lebih pengeluaran, maka Yu perlu menghubungi Nik Faisal.

"Ya," katanya ketika ditanya oleh peguam Harvinderjit Singh tentang sama ada dia menghubungi Jho Low setiap kali Nik Faisal gagal dihubungi, memandangkan dia ialah pemegang mandat yang dapat menyelesaikan isu berkenaan akaun tersebut.

Low diberitahu akaun Najib ditutup selepas amaran

Liputan negatif berkenaan transaksi tiga akaun semasa Najib pada 2014 menyebabkan penutupan akaun dengan nombor berakhir 880, 906 dan 898 pada Mac 2015.

Pengarah urusan AmBank pada masa itu Ashok Ramamurthy, yang menggantikan Cheah, bukan saja membangkitkan transaksi meragukan tetapi juga membawanya kepada perhatian lembaga pengarah.

Yu berkata ia antara sebab dia memberitahu Jho Low tentang perkembangan tersebut.

"Deposit tunai yang besar," katanya ketika menjawab soalan peguam Harvinderjit tentang sebab lain penutupan akaun yang diberitahunya kepada Jho Low.

Jho Low nak log perbualan dipadam, Yu enggan

Ahli perniagaan itu cuba meyakinkan Yu agar memadam log perbualan di Blackberry Messenger pada 3 Mac 2015, tetapi dia tidak berbuat demikian.

Menurut Yu, dia memberitahu Jho Low bahawa dia tidak tahu bagaimana untuk memadamnya.

"Benar (Low minta padam log perbualan BBM) tetapi saya tak buat. Sebab saya tak tahu caranya," katanya kepada mahkamah.

Yu diminta berhenti kerja lepas penggeledahan AmBank

Yu diminta meninggalkan AmBank pada 2015 susulan penggeledahan Bank Negara di Ambank cawangan Jalan Raja Chulan pada 6 Julai tahun yang sama.

Katanya, bank itu dalam tekanan ekoran penggeledahan tersebut dan penglibatannya dalam akaun Najib.

"Saya berhenti pada 2015. Saya baca di akhbar mereka (AmBank) didenda (kerana gagal fail Laporan Traksaksi Meragukan atau STR). Saya diminta untuk berhenti," katanya.

Yu tiada akses terus untuk akaun Najib

Bertentangan dengan dakwaan awal yang dibangkitkan pasukan pembelaan Najib berkenaan "rogue banker" dalam pemindahan jutaan ringgit ke akaun Najib, Yu sebenarnya tiada akses secara langsung kepada akaun itu.

Sebaliknya dia bertindak sebagai pemudah cara yang menyampaikan permintaan daripada Najib atau pemegang mandat, Nik Faisal, kepada bahagian yang relevan di AmBank.

Bank pastikan cek Najib tak ditendang

Mengambil kira kedudukan Najib dalam kerajaan pada masa itu, AmBank memutuskan untuk tidak menolak sebarang ceknya walaupun akaun tersebut mengalami lebih pengeluaran.

Sebaliknya AmBank Raja Chulan akan memberitahu Yu, yang kemudiannya akan menghubungi Nik Faisal untuk membaiki keadaan.

"Oleh kerana status Najib sebagai perdana menteri dan menteri kewangan Malaysia, walaupun ketika akaun semasa ada lebih pengeluaran, bank tidak akan menendang cek yang dikeluarkan oleh Najib."

Lihat Komen