malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Sumber: Formula agihan kerusi dalam piagam Umno-PAS
Diterbitkan:  Jul 27, 2019 8:34 AM
Dikemaskini: 12:34 AM
ADS

Umno dan PAS dikatakan sudah memperincikan soal agihan kerusi bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-15 dan ketetapan mengenainya telah dimasukkan dalam piagam kerjasama yang bakal ditangani 14 Sept nanti.

Perincian itu membabitkan agihan kerusi antara Umno, PAS dan komponen BN bagi mengelak pertembungan sesama sendiri yang akhirnya merugikan mereka.

Menurut sumber, perbincangan juga turut menjurus kepada pembahagian negeri yang akan dikuasai oleh Umno dan PAS berdasarkan kekuatan parti masing-masing.

Pembahagian kerusi juga dikatakan turut mengambil kira 21 kerusi yang dimenangi Pakatan Harapan (PH) dan berupaya dirampas kembali Umno, PAS berdasarkan jumlah undi diperoleh kedua-dua parti dalam PRU lalu.

"Formula pembahagian kerusi telah ditetapkan, selain daripada kerusi tradisi PAS, parti juga akan bertanding di kerusi yang ditandingi parti Amanah.

"Umno pula, akan bertanding di kerusi tradisi serta kerusi-kerusi yang ditandingi parti Bersatu.

"Pun begitu, Umno dan PAS akan menilai juga kerusi-kerusi tradisi mereka, jika kerusi tradisi PAS, tetapi kekuatan memihak Umno, maka Umno akan bertanding, begitu juga sebaliknya," katanya kepada Malaysiakini.

21 kerusi pasti

Pada PRU ke-14, Amanah bertanding 27 kerusi Parlimen dan daripada jumlah itu, Amanah berjaya memenangi 11 kerusi ditandingi.

Manakala, Bersatu yang dipimpin Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad pada PRU lalu bertanding 52 kerusi Parlimen dan berjaya memenangi 13 kerusi.

PAS pula berjaya memenangi 18 kerusi parlimen dan buat pertama kali dalam sejarah PAS bertanding di 158 kerusi parlimen.

Manakala Umno yang bertanding menggunakan logo BN tewas buat pertama kali selepas lebih 60 tahun apabila berjaya memenangi hanya 79 kerusi.

"21 kerusi yang 'pasti' Umno dan PAS boleh menang berdasarkan undi diperoleh dua parti itu pada PRU-14 lalu pula akan dibahagi mengikut kekuatan masing-masing.

"Misalnya, parlimen Pokok Sena, kekuatan ada pada PAS, Parlimen Kuala Selangor pula kekuatannya ada pada BN, selain mengekalkan kerusi yang ada sekarang, merampas kembali 21 kerusi ini amat penting jika mahu mengambil alih Putrajaya," kata sumber lagi.

Bantu PAS bentuk kerajaan di Kedah

Untuk rekod 21 kerusi yang berupaya dimenangi Umno dan PAS itu membabitkan dua kerusi parlimen dimenangi Menteri Besar Kedah Mukhriz Mahathir dan Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu.

Selain itu berdasarkan jumlah undi yang diperoleh Umno dan PAS juga, 12 kerusi parlimen yang kini disandang menteri dan timbalan menteri juga dikatakan turut tergugat.

Menurut sumber lagi, Umno hampir pasti mendapat persetujuan untuk memberi laluan kepada PAS terus kekal berkuasa di Kelantan dan Terengganu selain akan membantu PAS membentuk kerajaan di Kedah.

Manakala, Umno akan menguasai negeri-negeri pantai barat serta negeri tradisinya sebelum ini.

"Hampir pasti persetujuan dicapai untuk PAS menguasai tiga negeri berkenaan.

"Umno dan PAS belajar daripada kesilapan lalu apabila pertembungan tiga penjuru yang merugikan mereka.

"Untuk kali ini Umno dan PAS akan memastikan tidak lagi berlaku pertembungan 3 penjuru termasuk dengan komponen BN," kata sumber.

Lihat Komen