malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Hadi: PAS bukan parti malaikat
Diterbitkan:  Jul 26, 2019 8:31 PM
Dikemaskini: 12:31 PM
ADS

PAS tidak menganggap parti mereka laksana malaikat, kata presidennya, Abdul Hadi Awang, semasa menjelaskan proses memeterai kerjasama dengan bekas seteru mereka, Umno.

Bercakap kepada media di Rusila, Marang di Terengganu hari ini Abdul Hadi berkata disebabkan itu PAS tidak wajar meletakkan apa-apa syarat khusus bagi membolehkan kerjasama dengan Umno terlaksana.

Kata Abdul Hadi partinya tidak mencampuri masalah dalaman dihadapi Umno, sebaliknya kerjasama sesama rakan pembangkang itu dilakukan bagi "memperbetulkan politik negara".

"Itu masalah dalaman (Umno) kita tak campur.

"Kita juga perlu bersih - bukan bersih orang lain saja. Kita pun kena bersih juga. Masing-masing parti kena bersihkan parti sendiri.

"Kita (PAS) tak anggap kita parti malaikat," katanya melalui sidang media yang disiarkan secara langsung di laman Facebook beliau.

Abdul Hadi berkata demikian sebagai menjawab pertanya jika PAS meletak sebarang syarat kepada Umno untuk memastikan parti itu bersih terlebih dulu sebelum menjalinkan kerjasama secara rasmi.

Ia susulan pertuduhan rasuah dan salah guna kuasa yang dihadapi oleh beberapa pemimpin kanan Umno, presiden mereka, Dr Ahmad Zahid Hamidi; Setiausaha Agung BN, Tengku Adnan Tengku Mansor, dan bekas perdana menteri Najib Razak.

Nik Aziz pun restu

Umno dan PAS di ambang memeterai piagam bersama bagi menandakan bermulanya kerjasama - atau digelar taawun - dalam kalangan pembangkang bagi menghadapi PH.

Membawa agenda penyatuan ummah, kerjasama Umno dan PAS memberi fokus kepada perpaduan dalam kalangan orang Melayu dan umat Islam.

Melalui kerjasama yang ketika ini dikenali sebagai "Muafakat Nasional", kedua-dua parti itu merangka piagam yang disiapkan jawatankuasa bersama kedua-dua parti.

Piagam kerjasama itu bakal ditandatangai Ahmad Zahid dan Abdul Hadi pada 14 Sept nanti.

Mengulas lanjut mengenai kerjasama itu, Abdul Hadi berkata ia juga selaras dengan pendirian bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Katanya, konsep taawun politik yang diamalkan PAS ini sudah dibincang dengan teliti bersama bekas menteri besar Kelantan itu sebelum ini.

"Dan ini kita bersama dengan alhamarhum Tuan Guru Nik Aziz, kita bincang, dengan sebab itu konsep taawun politik ini diperkenalkan sejak tok guru masih ada lagi.

"Itu maksudnya kita bincang, arwah Haron Din ada lagi (membincangkan konsep taawun), daripada tahaluf kepada taawun, itu pendekatan yang kita ambil," katanya merujuk kepada tokoh dari Perlis yang menjadi seorang lagi bekas mursyidul am PAS.

Bagaimanapun kata Abdul Hadi, kerjasama itu tidak bermakna PAS menafikan kesalahan ataupun kesilapan yang dilakukan pemimpin Umno.

Lihat Komen