malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Anwar tak tahu ura-ura Azmin nak keluar PKR
ADS

Presiden PKR Anwar Ibrahim hari ini menyatakan bahawa beliau tidak tahu menahu mengenai ura-ura kononnya timbalannya, Mohamed Azmin Ali akan meninggalkan parti itu dan menyertai Gerakan, seperti dilaporkan media semalam.

Enggan mengulas lanjut hal itu, beliau turut meminta semua pihak agar berhenti melaga-lagakan mereka berdua.

"Saya tak dengar pun...media (yang) bagitahu… kita teruskanlah dengan agenda ekonomi…," katanya ringkas selepas menghadiri Simposium Ekonomi Malaysia, bertemakan “Ekonomi Malaysia: Kini dan Masa Hadapan” di parlimen hari ini.

Semalam, sebuah portal berita yang memetik sumber melaporkan bahawa Mohamed Azmin, yang juga menteri hal ehwal ekonomi, didakwa akan menyertai Parti Gerakan berikutan ketegangan antara beliau dan Anwar sebelum ini.

Mohamed Azmin bagaimanapun belum membuat sebarang kenyataan sehingga kini.

Selepas pilihan raya umum ke-14 tahun lepas, Gerakan mengumumkan keluar daripada BN dan sehingga kini belum menyertai mana-mana gabungan.

Sementara itu, Gerakan mengalu-alukan kemasukan mana-mana ahli atau pemimpin Pakatan Harapan jika bersetuju dan boleh menerima ideologi parti tersebut, kata presidennya Dominic Lau Hoe Chai.

Lau berkata parti tersebut tidak mempunyai masalah dan terbuka untuk menerima kehadiran ahli -ahli baharu yang mementingkan dan memperjuangkan hak rakyat dalam membantu memajukan negara.

“Kami sentiasa terbuka, mengalu-alukan sesiapa sahaja, asalnya mereka bersetuju dengan ideologi kami. Gerakan adalah parti politik berbilang kaum. Semua anak Malaysia ada hak sebagai rakyat,” katanya dalam sidang akhbar yang disiarkan secara langsung oleh media sosial dari Sungai Petani.

Di Ipoh, Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin berkata sebarang usaha untuk menyingkirkan Mohamed Azmin bukan sesuatu yang mudah kerana jawatan yang disandang oleh Mohamed Azmin adalah hasil pemilihan anggota parti sendiri.

"Dia (Mohamed Azmin) adalah timbalan presiden yang dipilih oleh anggota parti, bila dipilih tak boleh singkir begitu sahaja, tidak semudah itu kalau sekiranya ada komplot (singkirkan beliau)," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Majlis Bandaraya Ipoh di Ipoh, hari ini.

Mengenai khabar angin terdapat pihak mahu menyingirkan Mohamed Azmin daripada parti selain desas-desus mengatakan timbalan presiden PKR itu akan menyertai Parti Gerakan, Zuraida hanya berkata: "Khabar angin hanyalah khabar angin, hinggalah ia betul-betul berlaku."

- Bernama

Lihat Komen