malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Nazri: Ramai netizen bodoh, cuma tahu merungut
ADS

Bekas menteri BN, Mohamed Nazri Aziz, hari ini tampil membela kerajaan PH dalam isu logo mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2020.

Beliau berkata, menteri yang bertanggungjawab bagi portfolio itu wajar mengabaikan saja kritikan yang dibuat pengguna media sosial, sebaliknya menumpukan perhatian meningkatkan promosi untuk menarik lebih ramai pelancong ke negara ini pada tahun depan.

Bahkan, kata Nazri, logo hanya memainkan peranan kecil saja untuk menarik pelancong berbanding langkah yang diambil melalui kaedah promosi lain.

“Tak usah peduli apa netizen cakap. Netizen bukan cerdik pun, buat apa semua tak kena.

"Netizen ni bodoh… buat apa semua tak kena, semua cuma tahu nak merungut," katanya kepada Malaysiakini.

Justeru Nazri yang sebelum ini ditugaskan mengepalai Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan berharap kerajaan melakukan tugas yang sepatutnya bagi membawa pelancong asing mengunjungi Malaysia.

Nazri berkata demikian ketika diminta mengulas kritikan pengguna media sosial terhadap logo Tahun Melawat Malaysia 2020 yang baru dilancarkan perdana menteri pada 22 Julai lalu.

Itu tanda setia

Ia adalah gantian kepada logo terdahulu yang turut mendapat kecaman ramai kerana dianggap tidak memiliki nilai seni yang sepatutnya dan tidak berkualiti.

Logo itu ciptaan Alfred Phua Hong Fook, 23, yang dituduh menciplak idea orang lain, serta mempunyai kesilapan tata bahasa.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Mohamaddin Ketapi, pula berkata logo tersebut dihasilkan oleh pereka berkelulusan memiliki ijazah seni reka grafik kelas pertama dari institusi pengajian tinggi.


Baca Logo baru Tahun Melawat Malaysia 2020 diumum Mei


“Graduan ijazah kelas pertama tidak akan melakukan perbuatan tiru-meniru kerana dia tidak berminat memalukan dirinya sendiri.

“Hanya orang yang tidak pandai lukis akan meniru,” katanya.

Mengenai penggunaan bahasa Inggeris dalam logo berkenaan, Mohamaddin berkata, ia sudah betul dan hanya dianggap salah jika seseorang tidak mendalami bahasa Inggeris.

Nazri berkata tidak timbul isu beliau menyatakan sokongan kepada kerajaan walaupun statusnya ketika ini seorang anggota parlimen pembangkang.

Sebaliknya kata pemimpin Umno yang terkenal dengan sikap suka berterus-terang itu, ia dibuat sebagai menyatakan kesetiaannya kepada negara.

“Pendapat ini sebagai tanda kesetiaan saya kepada Malaysia,” katanya.

Lihat Komen