malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Senator MIC persoal pengurangan pelajar India di matrikulasi
ADS

Senator MIC, T Mohan mempertikaikan pengurangan bagi pengambilan pelajar kaum India di program Matrikulasi bagi tahun 2019.

Beliau menggesa kementerian pendidikan memberikan penjelasan mengapa bilangan tempat untuk pelajar India menurun daripada 1,804 tahun lepas kepada 1,212 pelajar bagi tahun ini.

"Ini menunjukkan penurunan yang drastik jika dibandingkan dengan tahun-tahun sebelum ini.

"Kita nak tahu kenapa adanya penurunan drastik ini? Adakah permohonan pelajar India kurang pada tahun 2019? Atau arahan kabinet? Siapa yang membuat keputusan?" katanya kepada Malaysiakini.

Mohan berkata sekiranya jumlah itu sengaja dikurangkan, ia menujukkan keputusan bersifat perkauman di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Beliau berkata demikian mengulas jawapan bertulis kementerian berkenaan di Dewan Negara semalam.

T Mohan berkata semasa pentadbiran BN seramai 1,493 pelajar India diberi tempat daripada 1,500 yang diperuntukkan untuk masyarakat itu.

"Kalau semasa BN memberi penempatan 1,493 daripada jumlah 1,500 yang dijanji, masih ada pemimpin PH membuat bising dan sebagainya, sekarang mana (mereka) semua ini?

"Persetujuan BN memberikan 2,200 penempatan kepada pelajar India dari tahun 2018 juga ditolak oleh PH. Jadi, siapa yang rasis yang sebenar?" soal beliau lagi.

Malaysiakini telah menghubungi pegawai-pegawai Kementerian Pendidikan dan juga Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Cheng untuk mendapatkan komen.

Sebelum ini, isu mengenai matrikulasi mencuri perhatian selepas kerajaan PH memutuskan untuk mengekalkan kuota 90 peratus bagi pelajar bumiputera.

Bagaimanapun,kementerian itu memutuskan untuk meningkatkan jumlah pengambilan pelajar bermula tahun depan.

Pada April lalu, menteri pendidikan Dr Maszlee Malik berkata kuota khas pelajar bukan bumiputera  bagi matrikulasi diberikan mengikut keperluan dan "melibatkan kekosongan kuota bumiputera yang tidak diisi".

Maszlee juga berkata kuota khas berkenaan adalah bersifat "one off" dan berdasarkan keperluan semasa.


Lihat Komen