BERITA

Nasihat menteri kesihatan: Jauhi anak-anak dari 'bubble tea'

Faisal Asyraf

25 Jul 2019, 6:15 am

Dikemaskini setahun lepas

A
+
A
-

Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad hari ini menasihatkan ibu bapa mengelakkan anak-anak mereka mengambil minuman manis terutama minuman teh gelembung (bubble tea) yang popular sekarang.

"Saya mengingatkan kepada semua dan paling mustahak ialah pengguna sendiri perlu cerdik, bijak dan dapat maklumat serta membuat keputusan sehingga tidak membeli produk walaupun betapa cantik atau menarik.

"Macam bubble tea mempunyai lebihan gula yang besar," katanya kepada media selepas merasmikan kempen "Kurangkan gula, hidup sihat" di pasaraya Giant di Subang Jaya hari ini.

Dzulkefly berkata kementerian itu tidak boleh menafikan hak pengguna tetapi ia akan terus memantau trend produk bergula tertentu.

"Cara yang paling berkesan adalah pengguna mengambil inisiatif sendiri dan tanggungjawab dengan tidak menggalakkan keluarga mereka untuk mengambil produk tersebut," katanya.

Dzulkefly berkata paras gula dalam minuman teh gelembung adalah berlebihan dan di luar tahap pengambilan harian yang ideal.

"Kalau tak silap saya setiap 500ML (minuman) mengandungi kira-kira 20 sudu teh sementara yang dibenarkan adalah lapan (sudu teh) untuk pengambilan sehari," katanya. 

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.