Najib Razak hari ini memperincikan pandangan bercanggah Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad terhadap dakwaan seksual terhadap Presiden PKR Anwar Ibrahim pada 1998 dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali yang muncul bulan lalu.
Dalam ciapan di Twitter hari ini, bekas perdana menteri menulis: Tahun 1998: Ini isu moral, bukan isu politik. Tahun 2019: Ini isu politik, bukan isu moral."
Walaupun, tidak menyatakan nama, adalah jelas bahawa Najib merujuk kenyataan Mahathir berkenaan video semburit yang dikaitkan dengan Azmin.
Dalam hantaran di blog semalam, perdana menteri itu berkata bahawa beliau tidak akan membenarkan dirinya diperalatkan oleh pihak yang merancang video seks itu.
"Ini bukan isu moral, ini adalah isu politik. Ini akan dikendalikan sebagai isu politik," katanya.
Mahathir turut menafikan bahawa dirinya mempertahankan Azmin ketika mendakwa video tersebut sebagai palsu sedangkan pihak berkuasa belum menyelesaikan siasatannya. Katanya, beliau hanya tidak mahu terperangkap dan menjadi sebahagian daripada politik kotor .
Namun, ketika penggal pertamanya sebagai perdana menteri, Mahathir menegaskan bahawa pendirian moral merupakan alasan untuk memecat Anwar sebagai timbalannya pada tahun 1998 berdasarkan tuduhan salah laku seksual.
Semasa sidang akhbar ketika itu, Mahathir menyifatkan Anwar sebagai seseorang yang dianggap sebagai kawan, rakan sekerja dan malahan “anak didikannya”.
"Tetapi, tindakan diambil kerana orang ini tidak boleh dibenarkan menjadi pemimpin di negara seperti Malaysia," katanya.
"Saya sebenarnya, berjumpa dengan orang yang diliwatnya dan wanita-wanita yang dia adakan hubungan seks, pemandu yang membawa wanita ke tempat dia berjumpa dengan mereka...
"Mereka bukan sahaja bersemburit, tetapi semasa proses itu, dia melakukan ... Saya tidak tahu apa yang kamu panggil, dia melancap lelaki itu...," katanya.
Anwar sentiasa konsisten menafikan dua tuduhan liwat yang dikenakan terhadapnya, pada 1998 dan 2010 semasa pentadbiran Najib. Beliau mendakwa ia adalah rekayasama untuk memuisnahkan kerjaya politiknya.
Skandal video terbaru juga disebut berkaitan dengan perebutan kuasa antara Mahathir dan Anwar.
Ini kerana Mahathir dikatakan mahu Azmin, yang juga timbalan presiden PKR, untuk menggantikannya walaupun ada persetujuan bahawa jawatan perdana menteri seterusnya akan diserahkan kepada Anwar.
Anwar menafikan pembabitannya dalam video itu, yang menurut polis adalah sebahagian daripada plot yang diterajui oleh seorang pemimpin politik dengan tujuan merosakkan reputasi seorang menteri kanan pentadbiran Dr Mahathir.
Walaupun siasatan polis mendapati bahawa video itu berkemungkinan besar sahih, proses pengenalan wajah gagal menghubungkan Azmin dengan rakaman yang menggambarkan dua lelaki yang terlibat dalam hubungan seks songsang berkenaan.