malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
3 Orang Asli Temiar dijangka dibawa ke mahkamah hari ini
Diterbitkan:  Jul 24, 2019 9:47 AM
Dikemaskini: 1:47 AM
ADS

Tiga Orang Asli yang ditahan di Gerik semalam dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret Gerik pagi ini.

Menurut kumpulan The Centre for Orang Asli Concerns (COAC), ketiga-tiga individu dari masyarakat Temiar di Kampung Sungai Papan itu kemungkinan didakwa kerana menyebabkan kerosakan jalan raya, jambatan atau menyebabkan sungai tidak selamat diseberangi.

Kesalahan ini boleh dikenakan hukuman sehingga lima tahun penjara atau denda atau kedua-duanya.

"Laporan berbeza-beza mengenai dakwaan yang akan dikenakan kepada mereka: Seksyen 431 Kanun Keseksaan (melakukan kerosakan dengan menghalang jalan awam) atau Seksyen 341 (kekangan yang salah). Tetapi dua daripada mereka juga akan didakwa kerana tidak membawa kad pengenalan," kata COAC dalam kenyataan di Facebook hari ini.

COAC menambah bahawa sekumpulan sehingga 57 orang Temiar berkumpul di Balai Polis Gerik sejak penangkapan tiga daripada rakan mereka.

Orang Asli sebelum ini menuduh pembalak di Kampung Sungai Papan menceroboh tanah adat (NCR). Komuniti Temiar mendirikan sekatan untuk menghalang pembalak.

Namun, kerajaan Perak mengekalkan hak untuk memberikan permit pembalakan di kawasan itu. Konflik berkenaan membawa kepada penahanan tiga Orang Asli Temiar Sabtu lalu.

Ketiga-tiga mereka dibebaskan susulan rayuan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waythamoorthy.

Meskipun Waythamoorthy turut menggesa agar pihak berkuasa negeri menghentikan tangkapan lebih lanjut dan tidak bersekongkol dengan penebang sehingga sempadan undang-undang hak tanah Orang Asli ditentukan, polis semalam menahan tiga lagi Orang Asli Temiar.

Waythamoorthy, yang bertanggungjawab dalam Hal Ehwal Orang Asli, berkata Mahkamah Persekutuan telah berulang kali mengakui bahawa hak tanah adat Orang Asli menggantikan hak-hak kerajaan negeri di bawah Perlembagaan Persekutuan.

"Sehingga sempadan undang-undang hak tanah Orang Asli ditentukan, saya berpendapat bahawa ia adalah menyalahi undang-undang bagi pihak berkuasa negeri untuk secara sepihak memberi permit kepada pemaju untuk menceroboh dan mengeksploitasi hak orang-orang tanpa pertahanan ini tanpa kebenaran terlebih dahulu," katanya.

Malaysiakini sedang menghubungi polis Gerik untuk pengesahan.

Lihat Komen