Pengiklanan

    Meski mabuk bercinta, berlaku adillah wahai PAS

    (Dikemaskini )

    ULASAN | Kenyataan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man yang menggesa parlimen dibubarkan agar dapat diadakan pilihan raya umum (PRU) amatlah aneh dan tidak bertanggungjawab.

    PRU adalah untuk memilih kerajaan persekutuan bagi mentadbir negara, bukannya bagi memuaskan nafsu ahli siasah yang berterusan ghairah berpolitik tanpa memikirkan kepentingan rakyat.

    Dahulu sebelum PRU ke-14, PAS pernah meminta pembangkang agar Najib Razak serta Umno-BN diberi tempoh menyelesaikan masalah negara.

    Ketika itu negara sedang dilanda pelbagai skandal kesan pentadbiran BN dan Umno selama lebih 60 tahun.

    Kini - apabila giliran kerajaan PH memerintah baru setahun - kenapa PAS tidak sabar-sabar lagi minta PRU diadakan pula?

    Kalau memang pun sedang mabuk bercinta dengan Umno, eloklah cuba berlaku sedikit adil kepada PH. Lagi pun Umno sudah berpeluang lebih 60 tahun memerintah.

    Berlaku adillah wahai PAS.

    Bukankah dahulu PAS juga berkata PRU dan pilihan raya kecil (PRK) yang diadakan kerap kali merugikan rakyat dan negara?

    Tumpu keperluan anak muda

    Banyak perbelanjaan dan masalah kewangan negara yang perlu diutamakan serta diselesaikan sekarang. Misalnya, hutang peninggalan Umno-BN, masalah Lembaga Tabung Haji dan Felda, isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan pelbagai lagi kekangan yang sedang kerajaan selesaikan.

    Bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), kami sedang menyelesaikan hutang serta liabiliti peninggalan Umno dalam syarikat perumahan PR1MA, Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) dan perumahan penjawat awam bagi golongan B40 terutamanya.

    KPKT juga merancang menyiapkan 100,000 unit rumah setahun sebagai kediaman mampu milik bagi golongan B40.

    Kami bukan saja sudah menyediakan dasar perumahan khusus untuk rumah mampu milik, malah menyiapkan dana khas untuk mereka yang kurang mampu.

    Tidak ketinggalan, disediakan skim pinjaman khas melalui syarikat kewangan sebagai alternatif kepada pinjaman bank yang kadar penolakan pinjaman begitu tinggi.

    Gambar fail

    Bagi golongan muda pula kami mengadakan skim sewa milik (rent to own) untuk memudahkan pembelian rumah.

    Baru-baru ini pula kami mengadakan pengecualian kepada peminjam PTPTN yang disenarai hitam agar anak-anak muda dapat membeli rumah pertama.

    Ini hanya sebahagian daripada usaha KPKT dalam tempoh 12 bulan pertama PH memerintah untuk menyelesaikan masalah asas rakyat, iaitu rumah pertama mereka.

    Pada masa sama KPKT juga menyelesaikan masalah perumahan anak muda.

    Justerus, adakah adil buat rakyat apabila PAS meminta tumpuan dan sumber kewangan negara - yang baru setahun melalui PRU - untuk menghabiskan masa dan dana bagi memenuhi nafsu ahli politik yang tidak habis-habis ingin merebut kuasa?

    Pelabur percaya pada kerajaan

    Bilakah nasib rakyat akan dibela jika inilah sikap ahli politik yang rakus ingin berkuasa? PRU diadakan lima tahun sekali untuk memberi masa sekurang-kurangnya sewajarnya kepada kerajaan semasa berkerja dan membina negara.

    Rakyat penat dengan terlalu banyak politik murahan dan mengabaikan usaha membela nasib mereka.

    Tuan Ibrahim adalah wakil rakyat di salah satu kerusi parlimen Kelantan. Ia adalah negeri yang hampir 30 tahun sudah diperintah oleh PAS.

    Eloklah beliau menumpukan masa dan perhatian untuk membaiki nasib rakyat Kelantan yang amat memerlukan pembelaan.


    Baca Selepas 'nyamuk' meninggalkan PAS


    Saranan beliau untuk mengadakan PRU sekarang juga seolah-olah tidak meraikan serta menghormati hak anak muda berumur 18 tahun yang perlu sedikit masa bersedia untuk boleh mengundi.

    Usaha kerajaan PH membasmi rasuah, kronisme, salah guna kuasa melalui tadbir urus baik dengan mengamalkan sistem tawaran terbuka dan hak kebebasan bersuara telah membawa peningkatan tinggi pelabuan langsung luar (FDI).

    Ia adalah petanda bahawa pelabur asing memberi kepercayaan kepada Malaysia.

    Rating pelaburan dari badan antarabangsa juga meningkat dengan pertumbuhan dalaman negara lebih baik dari jangkaan asal Bank Negara.

    Reformasi positif, keterbukaan serta ketelusan kerajaan PH mulai menunjukkan hasil yang baik.

    Jadi, untuk apa kita harus hentikan kemajuan dan pencapaian baik negara dengan mengadakan PRU sekarang - seperti yang dikehendaki PAS?

    Apakah motif sebenar desakan Tuan Ibrahim itu kecuali mahu berpolitik semata-mata tanpa memikir keperluan dan kepentingan rakyat terutama anak muda.

    Umno-BN sudah memerintah Malaysia terlalu lama dan meninggalkan beban hutang begitu tinggi selain kerosakan nilai parah secara menyeluruh.

    PAS pula memerintah Kelantan hampir 30 tahun. Tetapi negeri itu masih kekal dalam kalangan negeri termiskin dan dengan belenggu masalah penagihan dadah yang begitu tinggi.

    Tidak ketinggalan, masalah pembalakan, pelombongan serta pencemaran alam di tahap kritikal serta mendesak untuk selesaikan.

    Tempoh sudah diberi - selama 60 tahun untuk Umno di peringkat persekutuan dan 30 tahun untuk PAS di peringkat negeri Kelantan.

    Apalah sangat jika dibanding setahun jagung kerajaan baru PH memerintah negara.

    Kemahuan PAS itu bukanlah cara politik matang untuk masa hadapan rakyat yang perlu pembelaan terutama dalam sektor keperluan asas seperti perumahan, peluang pekerjaan dan kos sara hidup.

    Walaupun dalam keadaan mabuk bercinta, apa salahnya PAS dan Umno memberi peluang kepada PH mentadbir negara sehingga penggal yang ada berakhir?

    Islam meminta kita berlaku adil dan bersabar dalam semua hal, termasuk hidup bermasyarakat dan berkerajaan.


    RAJA BAHRIN SHAH ialah anggota Dewan Negara, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta pengerusi PH Terenganu.

    Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

    Laporan Berkaitan

    Laporan Berkaitan

    Laporan Berkaitan

    Laporan Berkaitan

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih