Pengiklanan

    SPRM harap diberi kuasa siasat pemilik benifisiari syarikat

    (Dikemaskini )

    Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menantikan pindaan aktanya yang akan memberi kuasa kepada suruhanjaya itu untuk melangkaui proksi dan menyiasat pemilik sebenar sesebuah syarikat.

    Ketua Pesuruhjaya SPRM berkata beliau berharap untuk melihat perubahan itu tidak lama lagi.

    "Perkara ini telah dilihat kerajaan dan perdana menteri (Dr Mahathir Mohamad) telah mengumumkan sebahagian daripada inisiatif.

    "Tetapi hal ini melangkaui kami, kami ialah agensi dan penjawat awam untuk menguatkuasakan undang-undang. (Hal ini) di tangan pembuat dasar, kami akan berkongsi pandangan tentang sebab perkara ini diperlukan dan kami berharap mereka akan membuat (perubahan) sewajarnya," katanya ketika ditemui pemberita dalam program berkenaan ketelusan pemilik benifisiari hari ini.

    Januari lalu, Mahathir menyuarakan hasrat kerajaan untuk meminda Akta SPRM 2009 untuk mewajibkan syarikat telus berkenaan pemilik benifisiari mereka.

    Pemilik benifisiari ialah pihak yang memiliki syarikat dan mendapat keuntungan daripadanya, dan transaksi syarikat dilakukan bagi pihaknya.

    'Terlalu banyak proksi'

    Ketika program itu, Latheefa memetik kes rasuah seperti 1MDB dan SRC International sebagai contoh mengapa SPRM merancang untuk memasukkan peruntukan khusus berkenaan pemilikan benifisiari dalam aktanya.

    "Dalam kes ini syarikat digunakan untuk mengaburi mata agensi penguatkuasa dan mengesahkan keuntungan kewangan mereka, atau untuk menggunakan syarikat bagi mendapatkan keuntungan tanpa mendedahkan penglibatan mereka dalam syarikat itu," katanya.

    Mengulas lanjut, Latheefa berkata undang-undang sedia ada dan badan seperti Suruhanjaya Syarikat Malaysia hanya boleh mendaftar syarikat, bukan mewajibkan mereka mendedahkan pemilik sebenar.

    "Berdasarkan pengalaman SPRM, kami benar-benar memerlukan undang-undang ini kerana terlalu banyak proksi yang digunakan. Sebab itu kita perlu ambil tindakan.

    "...Ada kes di mana kita mendapati pemilik sejumlah kenderaan ialah pemandu yang sebenarnya tidak mampu untuk memilikinya. Ini antara hal yang kami hadapi.

    "Kami perlu pastikan undang-undang memadai untuk meyokong siasatan kami," katanya lagi.

    Program tersebut dianjurkan Pejabat Dadah dan Jenayah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNODC) sempena Stolen Asset Recovery Initiative (Star) - usaha sama antara UNODC dan Bank Dunia.

    Antara yang akan dibincangkan dalam program itu ialah cara negara-negara mengesan dan menyiasat pemilik benifisiari untuk menambah baik aspek ketelusan dalam perniagaan.

    Baca berita berkaitan:

    SPRM enggan ulas siasatan pada pegawai terlibat dengan kes TBH

    Latheefa: Tak perlu jumpa saya, memadai fail aduan dengan SPRM

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih