malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Menteri mahu polis siasat pihak sabotaj loji air Selangor
Diterbitkan:  Jul 22, 2019 12:39 PM
Dikemaskini: 4:50 AM
ADS

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar mahu pihak polis menyiasat tumpahan minyak diesel di kawasan Sungai Selangor petang semalam hingga menyebabkan penutupan empat loji rawatan air.

Berang dengan pencemaran yang menjejaskan bekalan air mentah sehingga membebankan pengguna air di Selangor, katanya tindakan berkenaan boleh dianggap sebagai satu tindakan sabotaj.

“Saya juga telah menghubungi Menteri Besar Selangor Amirudin Shari untuk membincangkan situasi terkini. Dua kejadian pencemaran dalam tempoh kurang tiga hari tidak boleh dipandang sewenangnya.

“Oleh yang demikian setelah berbincang dengan Ketua Polis Negara (Abdul Hamid Bador), saya juga turut memohon pihak polis untuk sama-sama menjalankan siasatan.

“Saya ingin memastikan bahawa dalang di sebalik insiden ini dapat diberkas dan dihukum dengan berat di bawah akta-akta yang sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pencemaran itu mengakibatkan penutupan loji rawatan air 1, 2 dan 3 di Sungai Selangor manakala dan loji di Rantau Rantau pada kira-kira antara jam 6 petang hingga 8.15 malam petang semalam.

Loji-loji berkenaan kembali beroperasi pada jam 3.30 pagi tadi.

Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) dalam satu kenyataan turut mengesahkan tumpahan minyak diesel berkenaan dan tidak menolak kemungkinan sabotaj.

Katanya, syarikat itu sedang menyiasat punca insiden tersebut dari pebagai sudut termasuk kemungkinan perbuatan khianat, sabotaj dan akan mengemaskini maklumat terkini.

Sementara itu, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) hari ini membuat laporan polis berhubung dua insiden pencemaran sumber air mentah di Sungai Selangor bagi membolehkan siasatan dijalankan.

Pengerusi SPAN Charles Anthony Santiago berkata dua insiden dalam tempoh tiga hari adalah amat membimbangkan dan pihaknya bersimpati dengan penderitaan rakyat Selangor akibat penutupan empat loji rawatan berikutan pencemaran yang berlaku.

Menurutnya, pencemaran bau dalam insiden pertama pada Jumaat lepas telah menyebabkan penutupan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 serta LRA Rantau Panjang, diikuti insiden pencemaran diesel akibat aktiviti kerja-kerja pengorekan pasir di hulu sungai.

"Keempat-empat LRA itu terpaksa dihenti tugas sekali lagi semalam ketika pemulihan bekalan air baru mencapai 97 peratus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Laporan polis dibuat oleh Pengarah Wilayah Tengah SPAN Jalalluddin Sulaiman di Balai Polis Bestari Jaya, Kuala Selangor pada kira-kira 10 pagi hari ini.

Lihat Komen