malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pertikaian pembalak, Orang Asli Temiar belum reda
ADS

Keadaan di sekatan yang dibina Orang Asli Temiar di tanah di Kampung Sungai Papan di Perak yang menjadi pertikaian dengan pembalak, masih belum reda sepenuhnya.

Koordinator Centre for Orang Asli Concerns Colin Nicholas berkata sejak semalam, sekatan kembali dibina oleh penduduk kampung hanya untuk diruntuhkan oleh pembalak dengan gergaji mesin.

"Mereka bukan pembalak biasa tetapi 'pihak luar' yang dibayar untuk melakukannya," katanya kepada Malaysiakini.

Beliau berkata sekatan dibina di beberapa tempat untuk menghalang pembalak daripada masuk ke tanah adat mereka.

Nicholas yang dalam perjalanan ke sekatan itu turut menyangkal laporan sebuah portal berita bahawa pembalak "membina sendiri sekatan dengan tanda 'dilarang masuk' untuk menghalang penduduk kampung daripada masuk ke kawasan itu".

Katanya, pembalak tiada sebarang sebab untuk membina sekatan.

Katanya lagi, pada masa ini keadaan di sana sedikit mengendur setelah pembalak, polis dan pegawai jabatan perhutanan meninggalkan kawasan itu.

Nicholas sebelum ini berkata Orang Asli Temiar merancang untuk membina semula sekatan yang diruntuhkan pembalak - yang diiringi polis pagi ini - tetapi sekatan itu pun telah dijejaskan.

Semalam, tiga Orang Asli Temiar ditangkap selepas dikatakan 'bertempur' dengan pembalak dan dibawa ke ibu pejabat polis daerah (IPD) Gerik.

Mereka kemudian dibebaskan beberapa jam kemudian selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waythamoorthy mengkritik penahanan itu.

Menurut Waytha, Mahkamah Persekutuan telah mengakui bahawa hak tanah adat Orang Asli melangkaui hak-hak kerajaan negeri.

"Sehingga sempadan undang-undang hak tanah Orang Asli ditentukan, saya berpendapat bahawa ia adalah menyalahi undang-undang bagi pihak berkuasa negeri untuk secara sepihak memberi permit kepada pemaju untuk menceroboh dan mengeksploitasi hak-hak orang-orang yang tidak berdaya tanpa persetujuan yang diberitahu terlebih dahulu," katanya.

Polis Gerik berkata tiga lelaki itu hanya dibawa ke balai untuk tujuan rekod.

"Kami hanya mencatatkan kenyataan mereka, mereka dibebaskan tanpa syarat pada sebelah petang," kata ketua polis Gerik Ismail Che Isa yang dipetik oleh The Star.

Lihat Komen