malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
SPRM: Perlu butiran lanjut isu surat aduan terhadap menteri pelancongan
ADS

Surat aduan tanpa nama yang panjang, yang dikatakan ditulis oleh pegawai tinggi di Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, tidak akan diambil serius melainkan terdapat butiran dan bukti.

Surat yang bertarikh 15 Jun 2019 dan dialamatkan kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad itu mengandungi aduan mengenai menteri pelancongan Mohamaddin Ketapi, selain bekas menteri pelancongan, Nazri Aziz.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya mengakui menerima salinan surat berkenaan tetapi menurutnya pihaknya tidak akan mengambil tindakan susulan kecuali ada butiran lanjut.

"Saya telah menerima surat ini tapi terus terang, ia harus lebih daripada aduan yang panjang ini. Kami memerlukan beberapa sebab kukuh," katanya kepada Malaysiakini.

"Aduan yang bersifat umum seperti ini tidak membantu - ia hanya bermakna ia akan mengambil masa yang lebih lama, sebelum kita mendapatkan bukti yang kukuh.

"Sebilangan besar aduan itu adalah tentang pentadbiran dan politik yang ditujukan kepada perdana menteri. Bagi SPRM, kita memerlukan lebih banyak masa untuk mengumpulkan bukti.

"Tetapi dengan adanya surat ini, pihak yang dituduh mungkin akan lebih berhati-hati," katanya.

Surat aduan berkenaan yang turut dilihat Malaysiakini mendakwa pegawai kementerian pelancongan yang mewakili dirinya dan sejumlah rakan sekerja bergred 48 hingga 54 dalam perkhidmatan awam.

Ia mengandungi dakwaan berhubung rasuah, kronisme dan ketidakcekapan.

Surat itu mendakwa bahawa walaupun mereka gembira dengan kemenangan Pakatan Harapan, budaya feudal dan membodek menteri yang diamalkan BN sebelum ini terus diamalkan.

Surat itu juga mendakwa kementerian berkenaan mempunyai terlalu banyak pelantikan politik yang tidak layak untuk peranan mereka serta mempersoalkan kecekapan menteri di parlimen.

Isu pertukaran status tanah kementerian di bangunan MATIC Jalan Ampang turut dibangkitkan.

Sumber dari pejabat Ketapi memberitahu Malaysiakini "Kami tidak akan melayan surat menghasut yang tidak berasas seperti ini. Ia tidak mempunyai nama atau tandatangan individu."

Sumber juga berkata pihak mereka sudah maklum mengenai surat itu sebelum ini meskipun ia bertarikh 15 Jun.

"Kami telah melihat surat itu. Jika mereka berpendapat bahawa mereka betul dan mempunyai bukti, mereka harus menggunakan saluran yang betul untuk melakukannya (aduan)," katanya.

Malaysiakini juga cuba mendapatkan respons daripada Pejabat Perdana Menteri dan Nazri.

Lihat Komen