malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Azmin tak hadir pemukiman PKR
Diterbitkan:  Jul 20, 2019 10:10 PM
Dikemaskini: 2:59 PM
ADS

Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali tidak hadir program pemukiman partinya di Port Dickson, Negeri Sembilan meskipun dijadualkan menyampaikan ucapan malam ini.

Sumber yang berada di resort Lexis Hibiscus, Port Dickson, tempat program diadakan memaklumkan perkara itu kepada Malaysiakini.

Azmin juga tidak hadir pada majlis perasmian pemukiman itu semalam yang disempurnakan Pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad.

Perkembangan itu berlaku meski Anwar, yang juga merupakan ahli parlimen Port Dickson, dilihat cuba meredakan pergeserannya dengan timbalannya itu melalui kenyataan petang tadi.

Dalam kenyataan sebagai presiden PKR itu, Anwar berkata partinya mengambil maklum perkembangan siasatan polis dan penafian Azmin berhubung klip video seks itu.

Anwar juga berikrar bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap anggota parti mereka sekiranya didapati terlibat dalam isu klip video seks berkenaan.

Dalam kenyataan di Twitter ketika program pemukiman PKR sedang berlangsung, Azmin mengulas kenyataan Anwar dengan berkata: "Saya terbaca “kenyataan penuh” secara bertulis Presiden KEADILAN yang dikeluarkan petang tadi. Beri saya sedikit masa untuk memahami perkembangan baru ini."

"Setelah meneliti kenyataan penuh YB @anwaribrahim petang ini, saya mengambil maklum pendirian beliau yang menerima hasil siasatan yang diumumkan oleh Ketua Polis Negara di mana saya tidak terlibat dalam video yang menjadi bahan fitnah.

"Saya juga mengambil maklum ketetapan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap pimpinan dan anggota parti yang terlibat dalam sebaran video ini. Ini selari dengan ketegasan saya dari awal bahawa politik kotor dalaman parti mesti diperangi habis-habisan," katanya.

Pergeseran antara dua pemimpin tertinggi PKR itu memuncak apabila Anwar menyatakan bahawa Azmin perlu meletakkan jawatan sekiranya klip video seks yang dikaitkan dengannya tulen.

Siasatan polis setakat ini sudah mengesahkan ketulenan klip video berkenaan, namun hasil proses pengecaman wajah adalah "negatif dan tidak dapat mengaitkan pelaku di dalam video tersebut dengan individu yang dimaksudkan".

Pemimpin kem Azmin tak hadir

Sementara itu, dalam pemukiman malam ini, beberapa pemimpin PKR yang dilihat berada dalam kem Azmin terutama ketika pemilihan parti tahun lalu turut tidak hadir.

Difahamkan, Naib Presiden PKR Ali Biju tidak hadir kerana masalah keluarga, sementara Zuraida Kamaruddin yang juga merupakan naib presiden dikatakan mempunyai tugas rasmi sebagai menteri.

Ketua Wanita PKR, Haniza Talha juga tidak hadir untuk berucap pagi tadi.

Bagaimanapun, Naib presiden Dr Xavier Jayakumar, yang turut bersama Azmin dalam pemilihan parti itu tahun lalu, hadir pada program pemukiman berkenaan.

Mengikut sumber Malaysiakini, Anwar pada pagi ini memaklumkan bahawa Xavier telah memberitahu kepadanya secara peribadi bahawa naib presiden PKR itu tidak menandatangani kenyataan yang membidas Anwar.

Namun, nama Xavier dikatakan diminta dimasukkan oleh pihak tertentu dalam kenyataan itu.

Ketua Penerangan PKR, Shamsul Iskandar Md Akin pula, yang juga dalam kem Azmin pada pemilihan tahun lepas, dilaporkan mengingatkan penyokong Azmin agar tidak mengeluarkan kenyataan seperti itu terhadap presiden mereka.

Shamsul berkata ia adalah tindakan yang melanggar arahan dan tidak sepatutnya tidak berlaku lagi selepas ini.

Pergeseran antara dua pemimpin tertinggi PKR itu berlaku susulan klip video seks yang dikaitkan dengan Azmin, yang juga menteri hal ehwal ekonomi

Azmin dituduh sebagai salah seorang individu yang dipaparkan dalam klip video seks sejenis itu. Tuduhan itu dilontarkan oleh bekas ketua Pemuda PKR (AMK) Santubong, Hazir Abdullah Abdul Aziz.

Haziq mengaku dirinya merupakan salah seorang individu dalam klip video itu, sementara Azmin menyifatkan tuduhan terhadapnya adalah "plot jahat" dari dalam parti untuk menjatuhkan kerjaya politiknya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen